X
Jumaat, 13 March 2020 | 5:29pm
KELIHATAN jemaah memakai topeng muka ketika tinjauan di Masjid Seri Petaling. - Foto Aswadi Alias
KELIHATAN jemaah memakai topeng muka ketika tinjauan di Masjid Seri Petaling. - Foto Aswadi Alias

COVID-19: 1 positif, 2 ditahan dan 42 dipantau di Kelantan

KOTA BHARU: Seorang positif, dua ditahan di wad manakala 42 lagi disyaki dijangkiti COVID-19 susulan ujian saringan yang dibuat kepada 132 individu dari negeri ini yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, tiga individu dimasukkan ke Hospital Kuala Krai manakala 42 lagi ditempatkan di Pusat Latihan Tumpat untuk pemeriksaan lanjut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kesemua sampel individu berkenaan sudah dihantar ke makmal untuk pengesahan lanjut.

“Jumlah ini adalah sebahagian daripada 132 individu yang tampil secara sukarela melakukan ujian saringan COVID-19 susulan kehadiran mereka di ijtimak tabligh.

“Kita tidak tahu berapa ramai dari Kelantan yang menyertai acara di Petaling Jaya itu, cuma setakat ini 132 hadir untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi BH.

Dr Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan menggesa kerjasama daripada kumpulan tabligh di Kelantan yang hadir ke Masjid Seri Petaling supaya hadir saringan di fasiliti berdekatan.

Ketika ini, selain 42 individu terbabit pihaknya turut menempatkan 28 yang lain dengan kebanyakan mereka penduduk luar Kelantan di Pusat Latihan Tumpat untuk pemeriksaan lanjut.

“Hanya kes yang memenuhi kriteria kemasukan ke wad sahaja akan dimasukkan ke sana sementara bagi kes yang bergejala ringan dan tidak bergejala dibenarkan menjalani pengawasan di rumah,” katanya.

Dr Zaini turut menasihatkan orang ramai khususnya yang mengalami gejala seperti batuk, selesema , demam dan sesak nafas supaya berada di rumah selain tidak digalakkan menghadiri tempat tumpuan awam seperti kenduri, pusat membeli-belah dan sebarang perhimpunan.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sentiasa memantau situasi kejadian COVID-19 dan orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman sesawang dan media sosial Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X