Khamis, 12 March 2020 | 9:13pm
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Jemaah hadir ijtimak tabligh dilarang ke masjid hingga sah sihat - mufti

KANGAR: Jemaah dari Perlis yang menghadiri perhimpunan ijtimak (perjumpaan) tabligh di Masjid Sri Petaling akhir bulan lalu ditegah ke masjid, solat berjemaah di masjid dan menghadiri solat Jumaat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta mana-mana jemaah tabligh yang mengalami tanda-tanda awal jangkitan COVID-19 segera menjalani pemeriksaan kesihatan dan hanya ke masjid apabila mereka disahkan bebas daripada jangkitan itu.

“Saya tegaskan di sini, mereka ditegah datang solat Jumaat dan menunaikan solat jemaah di masjid kerana khuatir akan menjangkiti orang lain. Kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku,” katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini hari ini.

Beliau turut meminta jemaah yang ke masjid untuk solat berjemaah mengguna ‘pembersih diri’ (pembasmi kuman) dan menutup mulut jika bersin atau batuk.

Semalam, Kementerian Kesihatan meminta peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu memberi kerjasama kepada agensi itu bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak merebak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan kira-kira 10,000 orang dari beberapa negara termasuk kira-kira 5,000 dari Malaysia. – BERNAMA

TAG: COVID-19, tabligh, mufti perlis, kuala lumpur, masjid jamek

Berita Harian X