Khamis, 12 March 2020 | 6:51pm
Tinjauan di Masjid Seri Petaling hari ini. Kelihatan seorang jemaah memakai topeng untuk masuk masjid susulan selepas seorang warga emas positif COVID-19 selepas menghadiri ‘ijtimak tabligh’ masjid itu pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Tinjauan di Masjid Seri Petaling hari ini. Kelihatan seorang jemaah memakai topeng untuk masuk masjid susulan selepas seorang warga emas positif COVID-19 selepas menghadiri ‘ijtimak tabligh’ masjid itu pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu. - Foto NSTP/Aswadi Alias

'Masjid kami bukan penyebar COVID-19'

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berhenti membuat tanggapan bahawa Masjid Seri Petaling di sini, adalah lokaliti panas penularan COVID-19 susulan beberapa jangkitan direkodkan selepas penganjuran Ijtimak Tabligh Ke-7, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi masjid, Mohd Salleh Abd Mubin, berkata setakat ini tiada bukti klinikal mengesahkan penularan COVID-19 dalam kalangan peserta program itu berpunca dari Masjid Seri Petaling.

Sebaliknya, beliau berkata, terdapat kemungkinan beberapa peserta positif COVID-19 itu sudah dijangkiti sebelum menyertai program berkenaan atau ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kawasan masing-masing.

"Kurang tepat kalau mahu kata perhimpunan ini sebagai punca walaupun warga Brunei terbabit memang menyertai program berkenaan. Ada kemungkinan juga dia sudah dijangkiti sebelum tiba di sini atau ketika dalam penerbangan pulang ke negara asalnya.

"Kita juga tidak tahu sejarah kontak rapat beliau sebelum dan selepas menyertai program di masjid ini secara terperinci," katanya di sini, hari ini.

Masjid Seri Petaling, ditutup sementara sejak Khamis lalu, bagi membolehkan proses disinfeksi dijalankan.-Foto NSTP/Aswadi Alias
Masjid Seri Petaling, ditutup sementara sejak Khamis lalu, bagi membolehkan proses disinfeksi dijalankan.-Foto NSTP/Aswadi Alias

Semalam, semua jabatan kesihatan negeri dilapor giat mengesan lebih 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di masjid itu, pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ia berikutan laporan International Health Regulation - Focal Point Brunei dengan kes disahkan positif COVID-19 di negara itu, mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia bagi menghadiri perhimpunan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata, pihak pengurusan masjid berkenaan ada meminta semua peserta Ijtimak Tabligh menjalani saringan kesihatan di klinik atau hospital berhampiran, jika ada menunjukkan sebarang gejala.

"Kita sudah meminta kira-kira 12,000 peserta program ini menjalani saringan kesihatan, tetapi ia tanggungjawab mereka sama ada mahu melakukannya atau tidak. Kita tak boleh paksa kerana mereka datang dari 25 negara berlainan.

"Malah, sebahagian besar peserta program ini sudah balik ke kawasan masing-masing dengan hanya dua daripada mereka yang juga warga asing masih menjalankan aktiviti tabligh di sekitar negara ini," katanya.

Masjid itu memuji langkah Kementerian Kesihatan menjalankan kerja pembersihan dan ujian saringan di masjid ini, sejak semalam. Malah, tiada arahan penutupan sementara dikeluarkan ketika ini.

Selepas ijtimak tempoh hari, masjid itu juga tiada rancangan aktiviti besar membabitkan orang ramai selepas ini. Pengurusan masjid juga menyediakan 'hand sanitizer' (cecair pembasmi kuman) untuk kegunaan jemaah.

Sementara itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang menyertai program berkenaan dan enggan identitinya didedahkan memaklumkan dia disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X