Khamis, 12 March 2020 | 10:29am

Ismail Sabri teruskan agenda Kertas Putih Pertahanan

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadikan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu sebagai panduan dalam membuat perancangan dan pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Ini adalah bukti bahawa kerajaan yang baru terbentuk adalah matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi dan pertahanan negara adalah satu agenda negara yang tidak boleh di kompromi dan setiap dasar yang dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan.

KPP bertajuk 'Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur' dibentangkan oleh bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 2 Disember tahun lalu dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

KPP membabitkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pengukuhan pertahanan secara komprehensif melalui pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat.

“Tumpuan yang sama juga turut merangkumi perkongsian yang berwibawa dengan negara-negara jiran serta negara-negara luar dalam memastikan keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat.

“Di samping itu, MINDEF akan terus memberi perhatian kepada kebajikan anggota dan veteran ATM serta warga awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebajikan adalah antara elemen penting dalam tahap kesiapsiagaan yang tidak boleh diambil remeh dan perlu diberi keutamaan sewajarnya oleh kerajaan.

“Saya berharap warga MINDEF akan terus memberi kerjasama penuh dan sokongan padu kepada saya dan timbalan saya dalam menguruskan pertahanan negara dan percaya dengan khidmat dan nasihat Ketua Setiausaha, Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, saya dan timbalan dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

“Untuk peringkat awal saya dan timbalan akan duduk bersama pengurusan tertinggi MINDEF bagi mendapatkan mendengar taklimat dan maklum balas untuk mendapatkan pemahaman dengan lebih jelas berhubung urusan pertahanan negara,” katanya.

Ismail memeriksa perbarisan kawalan kehormatan utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. - Foto Twitter MINDEF Malaysia
Ismail memeriksa perbarisan kawalan kehormatan utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. - Foto Twitter MINDEF Malaysia
Ismail memulakan tugas rasminya hari ini. - Foto Twitter MINDEF Malaysia
Ismail memulakan tugas rasminya hari ini. - Foto Twitter MINDEF Malaysia
Ismail menyentuh kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Pertahanan. - Foto Twitter MINDEF Malaysia
Ismail menyentuh kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Pertahanan. - Foto Twitter MINDEF Malaysia
Berita Harian X