Rabu, 11 March 2020 | 5:26pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali

32 organisasi bawah MEA kekal bawah Tok Pa

KUALA LUMPUR: Perbadanan kemajuan ekonomi negeri, yayasan, badan berkanun, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan yang sebelum ini seliaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) kini diletakkan bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menjelaskan perincian itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengakui wujud keperluan ke arah penstrukturan semula MEA memandangkan saiznya besar dan membabitkan beberapa agensi serta jabatan utama.

Bagaimanapun, beliau berkata, keperluan itu terpaksa ditangguhkan sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerajaan untuk melengkapkan inti pati Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dijangka dibentangkan di Parlimen, 6 Ogos ini.

“Susulan cabaran semasa yang semakin berat, ada keperluan untuk kita buat penstrukturan semula kementerian ini (MEA), sebab itu diwujudkan Jabatan Perdana Menteri yang memberikan perhatian khusus berhubung ekonomi, selain diteliti oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Tetapi atas cadangan ‘Tok Pa’ (Mustapa) dan saya mendukung cadangan itu, mungkin ketika ini, struktur sedia ada harus dikekalkan untuk sementara waktu memandangkan seluruh kementerian ini (MEA) sedang berikhtiar melengkapkan RMKe-12.

“Maka kita tidak mahu timbul sebarang masalah dalam tempoh terdekat ini supaya segala tenaga dan tumpuan diberikan untuk menyiapkan serta melengkapkan RMKe-12 yang akan dibentangkan pada akhir tahun ini di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas, hari ini.

Menerusi semakan di laman web rasmi MEA, kementerian itu mempunyai senarai organisasi yang amat panjang, antaranya merangkumi dua jabatan, 11 syarikat berkaitan kerajaan, 13 perbadanan kemajuan ekonomi negeri selain tiga masing-masing yayasan dan badan berkanun.

Azmin yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, KSN akan mengendali semakan dan penelitian terhadap semua organisasi yang bernaung bawah MEA, sebelum membentangkan keperluan melaksanakan penstrukturan semula kepada Jemaah Menteri.

“Tumpuan kita adalah untuk RMKe-12 kerana Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) akan dijajarkan dalam RMKe-12, jadi seluruh tenaga dan pemikiran serta pembabitan pegawai itu memang berat sekali.

“Ini untuk memastikan RMKe-12 benar-benar satu rancangan ekonomi bagi tempoh lima tahun yang akan memberikan manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam menangani cabaran ekonomi semasa,” katanya.

Berita Harian X