Selasa, 10 March 2020 | 2:43pm
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri V S Vigneswaran bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri V S Vigneswaran bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Senator diminta tumpu isu rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara diingatkan memberi keutamaan kepada isu kepentingan rakyat sambil mengetepikan fahaman politik berasaskan parti, bagi memperkasakan institusi dalam melaksanakan peranan semak dan imbang.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri K S Vigneswaran, turut meminta Ahli Dewan Negara memastikan perbahasan berkualiti yang boleh menyumbang kepada proses pembinaan bangsa.

“Saya berharap Ahli Yang Berhormat (Ahli Dewan Negara) akan memainkan peranan yang aktif dalam perbahasan di dewan yang mulia ini demi kepentingan masyarakat dan negara, dalam lingkungan tuntutan ikrar taat setia, Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Mesyuarat serta prinsip universal Rukun Negara,” katanya berucap sempena Majlis Angkat Sumpah enam senator di Dewan Negara, hari ini.

Enam senator mengangkat sumpah susulan pelantikan mereka menyertai Kabinet, semalam.

Mereka adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan); Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Turut mengangkat sumpah ialah Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I); Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha Politik Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar).

Vigneswaran turut menasihatkan Ahli Dewan Negara berusaha menambah ilmu untuk meningkatkan lagi mutu perbahasan supaya sesuai dengan fungsi dewan itu sebagai institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi masyarakat.

Katanya, ahli Yang Berhormat juga perlu terus mendukung visi rakyat membina sebuah negara yang maju, progresif dalam semua aspek pembangunan.

“Demokrasi adalah konsep yang indah dengan syarat ia dibina atas landasan kukuh, iaitu tingkah laku yang beradab dan bersopan, pemikiran terbuka dan rasional, serta keperibadian tinggi dan mulia.

“Sifat yang mulia inilah akan memperkasakan imej parlimen sebagai institusi perundangan yang berwibawa,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Senarai Kabinet 2020
  • Tugas berat Kementerian Perpaduan Negara kekalkan keharmonian antara kaum
  • Prestasi Kabinet penentu kelangsungan Perikatan Nasional
  • Kesemua 31 menteri Kabinet angkat sumpah jawatan di hadapan Agong
  • Keupayaan Zulkifli Mohamad Al-Bakri diyakini
  • Keupayaan Zulkifli Mohamad Al-Bakri diyakini
  • Mufti paling sesuai jaga hal ehwal agama
  • Senator diminta tumpu isu rakyat
  • Berita Harian X