Selasa, 10 March 2020 | 10:35am

Menteri, timbalan menteri angkat sumpah Senator

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengetuai enam Senator baharu mengangkat sumpah pagi ini susulan pelantikan mereka menyertai Kabinet, semalam.

Zulkifli yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri V S Vigneswaran, pada jam 10.05 pagi.

Ia disusuli, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan pula mengangkat sumpah jam 10.11 pagi.

Majlis angkat sumpah turut disertai Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, diikuti Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan I.

Turut mengangkat sumpah, Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha Politik Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar.

SENATOR yang baru dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, (dari kiri) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Lim Ban Hong selepas majlis angkat sumpah di Dewan Negara. NSTP/Asyraf Hamzah

Berita Harian X