Isnin, 9 March 2020 | 6:51pm
(ATAS, dari kiri) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Abd Rahim Bakri, (bawah, dari kiri) Arthur Joseph Kurup, Jonathan Yassin dan Datuk Dr Jeffrey G Kitingan.
(ATAS, dari kiri) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Abd Rahim Bakri, (bawah, dari kiri) Arthur Joseph Kurup, Jonathan Yassin dan Datuk Dr Jeffrey G Kitingan.

6 pemimpin Sabah jadi Menteri, Timbalan Menteri

KOTA KINABALU: Enam pemimpin dari Sabah dilantik bagi menyandang dua jawatan Menteri dan empat lagi Timbalan Menteri dalam Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Dua pemimpin yang mengisi jawatan Menteri ialah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), serta Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Pertanian dan Industri Makanan).

Empat pemimpin yang menyandang jawatan Timbalan Menteri pula ialah Datuk Abd Rahim Bakri sebagai Timbalan Menteri Kewangan I; Arthur Joseph Kurup - Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Jonathan Yassin - Timbalan Menteri Dalam Negeri II, serta Datuk Dr Jeffrey G Kitingan - Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Muhyiddin dalam ucapannya pada majlis pengumuman barisan Kabinet baharu itu berkata, Kerajaan Persekutuan serius dalam mengendalikan isu kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga serius untuk menangani isu pembangunan serta kemajuan sosioekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kabinet saya akan memastikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 diterjemahkan dalam bentuk dasar serta program yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Justeru, saya mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Berita Harian X