Rabu, 4 March 2020 | 12:01am
KAKITANGAN Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) Asmira Mohamed Azam (kanan), 27, melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap orang awam yang datang ke hospital itu bagi langkah pencegahan penularan COVID-19 ketika tinjauan hari ini. - foto hiasan - BERNAMA

Jangan sebar berita palsu COVID-19

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai penularan COVID-19 sehingga menimbulkan suasana panik kepada orang ramai.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, orang ramai diminta untuk merujuk sumber rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman web www.moh.gov.my atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di laman web rasmi www.who.int.

“Orang ramai boleh melayari portal sebenarnya.my bagi mengenal pasti sesuatu kesahihan berita.

“Selain itu, berita mengenai COVID-19 yang tidak dipastikan kesahihannya boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada kami’ di portal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pengguna boleh memuat turun aplikasi mudah alih Sebenarnya.my di Google Playstore dan Apple App Store.

Sebarang penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.

Berita Harian X