Sabtu, 29 Februari 2020 | 10:58pm

PH tak halang istiadat angkat sumpah PM

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mendakwa mempunyai sokongan 114 Ahli Parlimen menerusi pertemuan khas yang diadakan di Yayasan Al-Bukhary, malam ini.

Sokongan yang diterjemahkan menerusi akaun bersumpah (SD) itu disifatkan konsisten dengan perangkaan dikumpulkan PH sebelum ini bagi membentuk kerajaan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, ketika mendedahkan butiran itu berkata, seramai 111 Ahli Parlimen memberikan akujanji secara bertulis dalam SD.

“Yang sudah memberikan akujanji ialah 111, tetapi kita dapat sokongan 114,” katanya merujuk kepada tiga lagi Ahli Parlimen yang sekadar memberikan dokongan kepada PH secara ‘lisan’.

Seiring perkembangan itu, Salahuddin bagaimanapun berkata, PH tidak akan menghalang istiadat mengangkat sumpah di Istana Negara, bagi melantik Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebaliknya, Salahuddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata seluruh kepemimpinan PH akan berkumpul di Yayasan Al-Bukhary, pada jam 9 pagi.

“Ia akan berlangsung secara aman, kita tidak akan halang (istiadat angkat sumpah di Istana Negara bagi melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan).

“Kita nak hanya beritahu angka diberikan (sokongan majoriti dikumpulkan Perikatan Nasional) adalah tidak betul,” katanya.

Perikatan Nasional yang terdiri daripada segelintir pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muafakat Nasional (UMNO dan PAS), MIC serta MCA dilaporkan mempunyai majoriti mudah, iaitu 114 undi dalam kalangan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Berita Harian X