Sabtu, 29 Februari 2020 | 5:49pm

Azmin, Zuraida syukur kemelut selesai

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan syukur kemelut politik negara berakhir dengan pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ditemui media di pekarangan kediaman Muhyiddin di sini, bekas Timbalan Presiden PKR itu hanya memberi reaksi ringkas kepada media.

“Alhamdullilah,” katanya tanpa enggan mengulas lanjut dan dilihat terus beredar keluar tanpa sebarang kenyataan selanjutnya.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin juga senada dengan Azmin dan bersyukur akhirnya kemelut ini diselesaikan.

“Sepatutnya ia boleh diselesaikan lebih awal namun ia berpanjangan selama seminggu,” katanya yang sebelum ini mengumumkan keluar PKR bersama Azmin.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri kelapan.

Perkara itu diputuskan baginda selepas mendapat representasi daripada semua ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Istiadat pengurniaan suratcara perlantikan dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan di Istana Negara, pada jam 10.30 pagi esok.

Kemelut politik negara tercetus apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, bertindak meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Datuk Seri Azmin Ali keluar dari kediaman Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Eizairi Shamsudin
Datuk Seri Azmin Ali keluar dari kediaman Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X