Jumaat, 28 Februari 2020 | 3:22pm
Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak. - NSTP/Mohd Amin Jalil

MATTA: Harap visa jemaah umrah digantung tidak ambil masa lama

SEREMBAN: Keputusan kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan visa pelancongan mengekang penularan wabak COVID-19 memberi kesan kepada lebih 10,000 jemaah umrah dari Malaysia.

Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak, berkata jumlah itu membabitkan mereka yang dijadualkan bertolak ke Makkah bagi menunaikan umrah dalam tempoh terdekat.

Katanya, mereka antara jemaah umrah yang menggunakan pelbagai agensi umrah dan haji di negara ini dan dijangka bertolak ke Makkah bermula awal Mac ini.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan jemaah umrah melalui pelbagai agensi tempatan, kami rasa terkejut dengan arahan kerajaan Arab Saudi itu, namun sudah memaklumkan kepada semua agensi terbabit mengenai larangan berkenaan.

“Setakat ini, lebih 10,000 jemaah umrah dari seluruh negara yang akan ke Makkah pada Mac ini menerima kesan daripada larangan itu.

“Kita akur dengan arahan Kerajaan Arab Saudi itu sebagai langkah mengekang COVID-19 yang boleh membawa maut dan demi kepentingan keselamatan jemaah, adalah wajar mereka juga perlu bersabar.

“Sebagai langkah jangka pendek, agensi sudah diminta membuat perundingan dengan jemaah supaya meminda tarikh lain yang bersesuaian tanpa membabitkan pertambahan kos menunaikan umrah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Senawang, di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah, selain menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman COVID-19.

Langkah itu susulan kebimbangan terhadap penularan wabak terbabit yang mengorbankan lebih 2,715 orang dan menjangkiti lebih 78,000 orang di China dengan 52 lagi kematian dilaporkan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azri yang juga Timbalan Pengerusi MATTA Negeri Sembilan berkata, pihaknya berharap situasi itu tidak mengambil masa terlalu lama kerana akan menyukarkan urusan jemaah umrah terutama membabitkan visa.

“Kami harap kerajaan Arab Saudi dapat menyelesaikan masalah atau larangan ini dengan kadar segera, tambahan pula Malaysia bukan negara yang mempunyai kes COVID-19 serius atau kematian.

“Keadaan itu akan memberi masalah besar kepada agensi dan jemaah umrah terutama Ramadan tidak lama lagi.

“Seperti sedia maklum kadar umrah bagi Ramadan adalah berbeza berbanding bulan biasa,” katanya.

Mohd Azri juga berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan di Arab Saudi dan sebarang maklumat atau arahan terkini akan dimaklumkan kepada agensi umrah dan haji yang berkenaan.

“Sama-samalah kita berdoa, agar larangan dan penangguhan ini tidak mengambil masa lama dan jemaah dapat meneruskan ibadah umrah seperti biasa,” katanya.

keterangan gambar

1) SEREMBAN 28 FEBRUARI 2020. Mohd Azri Abd Razak. STR/Mohd Amin Jalil.

2) SEREMBAN 28 FEBRUARI 2020. Mohd Azri Abd Razak menunjukkan salinan dokumen arahan larangan menunaikan umrah. STR/Mohd Amin Jalil.

Berita Harian X