Selasa, 25 Februari 2020 | 12:07am
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menghadiri mesyuarat khas di Ibu Pejabat Bersatu malam tadi.- Foto BERNAMA
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menghadiri mesyuarat khas di Ibu Pejabat Bersatu malam tadi.- Foto BERNAMA

BERSATU tolak peletakan jawatan Tun M

PETALING JAYA: Mesyuarat tergempar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memutuskan menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti itu.

Keputusan sebulat suara yang dicapai dalam pertemuan khas selama tiga jam di Menara Yayasan Selangor, di sini turut mengusulkan beberapa perkara berkaitan kedudukan Dr Mahathir.

Menjelaskan inti pati mesyuarat, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata pucuk kepemimpinan parti akan menyampaikan rayuan kepada Dr Mahathir untuk kembali menerajui pentadbiran negara.

“Rayuan itu akan disampaikan esok pagi. Kita ingin Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Kelapan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mesyuarat tergempar BERSATU di aras sembilan, dekat Menara Yayasan Selangor, mulai jam 8.30 malam tadi diadakan tanpa kelibat Dr Mahathir.

Pertemuan khas itu sebaliknya hanya dihadiri sebahagian MPT dan ahli, selain dipengerusikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ditanya mengenai status Dr Mahathir dalam BERSATU, Mohd Rafiq berkata Ahli Parlimen Langkawi itu masih ahli sah parti, meskipun nekad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi.

“Jadi hari ini, kami sebulat suara menyokong kepemimpinan Dr Mahathir, bukan saja sebagai Perdana Menteri interim, tetapi kembali menjadi Perdana Menteri dan mentadbir negara,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X