Isnin, 24 Februari 2020 | 4:33pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto BERNAMA

Generasi M sangat berpengaruh menggerakkan masa depan ummah

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah peranan Generasi M amat signifikan dan sangat berpengaruh untuk menggerakkan arah haluan masa hadapan ummah dan masa hadapan dunia.

Baginda mahu agar generasi muda Islam akan cekal bersuara memenuhi peranan sebagai ‘opinion makers’ yang berpengaruh.

“Kepada generasi muda Islam, kita bina keyakinan, kita berikan kepercayaan, dan kita letakkan harapan agar mereka berjaya menjulang kemuliaan ummah.

“Semoga generasi muda Islam akan menjadi ejen perubahan, tekun berusaha melakukan yang terbaik, gigih menerokai perantauan baharu, serta kekal dengan pegangan akidah, dan tidak berkompromi dengan idealisme Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Menjunjung Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan dan Harapan’ di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Titah baginda, perangkaan 2010 turut menunjukkan satu bilion, menyamai 63 peratus umat Islam dan 14 peratus penduduk dunia, berada dalam usia di bawah 30 tahun, generasi yang dirujuk sebagai ‘Generasi M’.

“Satu bilion remaja Islam ini sedang berada di tapak semaian. Mereka komponen terpenting yang akan mencorakkan ummah. Satu billion remaja Islam ini amat signifikan, faktor penentu yang bakal meletakkan ummah berada di status kemuliaan atau kehinaan.

“Kemuliaan ummah pada masa hadapan amat bergantung pada kejayaan yang diperoleh oleh generasi muslim yang berusia 30 tahun ke bawah ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, kumpulan ini berpegang kepada iman dan amat selesa menerima kemodenan dan generasi ini tidak begitu mudah menghadam nilai-nilai tradisi tanpa terlebih dahulu disahihkan dengan fakta dan data, serta dibuktikan relevansi dalam dunia semasa.

“Mereka memerlukan kefahaman dan kerasionalan terhadap sesuatu perkara. Mereka mengamalkan budaya berdialog, bersoal jawab, berdebat dan berinteraksi.

“Mereka bukan lagi golongan yang diam bersila di atas tikar, mendengar dan menerima secara pasif, sebarang apa yang diungkapkan. Melalui talian, mereka memiliki sumber-sumber ilmu alternatif yang membolehkan mereka membuat perbandingan dan penelitian untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan,” titah baginda.

Baginda bertitah, justeru agenda untuk meningkatkan kemuliaan umat Islam wajib memahami senario dan perubahan sosial, komersial dan demografi yang sedang berada di hadapan mata ketika ini.

“Apakah formula yang wajib diformulasikan dalam hasrat mahu menjulang kemuliaan umat? Apakah impak yang bakal terjana dalam senario yang sedang dihadapi ini? Adakah kaedah pendekatan yang dilaksanakan oleh pelbagai individu dan institusi Islam ketika ini, berjaya mendampingi majoriti Generasi M.

“Atau mereka semakin menjauhkan diri kerana kurang tertarik dengan kaedah pengajaran Islam yang disampaikan, serta cara kupasan dan tafsiran ilmu yang dianggap tidak kontemporari, lantas gagal dirangkaikan dengan dinamik sains, teknologi, komunikasi, perdagangan dan diplomasi yang sedang berlaku.

“Generasi ini melalui media sosial secara vokal semakin menyuarakan rasa kecewa mereka dengan tafsiran agama yang mereka sifatkan tidak berlandaskan fakta dan hujah-hujah yang saintifik,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, generasi dewasa pula wajib memahami pemikiran dan jiwa kumpulan Generasi M ini dan mengolah pendekatan yang berupaya menjadikan mereka aset penting.

“Generasi dewasa hendaklah bersedia memberikan mereka ruang yang lebih besar, membolehkan generasi muda Islam mengambil tanggungjawab dan memenuhi peranan kepimpinan.

“Generasi dewasa hendaklah menghulurkan segala bantuan dan memberikan segala dorongan agar generasi muda Islam berupaya menjadi tenaga penggerak utama untuk mengangkat martabat ummah,” titah baginda.

Berita Harian X