Ahad, 23 Februari 2020 | 9:00am

Penyedia pengangkutan tangani penularan COVID-19

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, penelitian terbaru dikendalikan pasukan perubatan menjangkakan penularan wabak coronavirus (COVID-19) bakal memuncak pada bulan ini, sebelum berakhir menjelang April nanti.

Usaha dan langkah proaktif terus dipergiatkan bagi menyekat penularan COVID -19, sama ada di luar mahu dalam negara.

Penyedia pengangkutan awam Malaysia termasuk laut, darat dan udara juga sudah mengambil langkah perlu bagi mematuhi peraturan kesihatan serta keselamatan ketat supaya penularan virus COVID-19 dapat dikekang.

Untuk menghilangkan ketakutan dan membendung penularan penyakit itu, MAS serta penyedia pengangkutan awam yang lain mengambil semua langkah bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan, bukan hanya penumpang tetapi juga kakitangan mereka.

Ketua Pengawasan Keselamatan Korporat, Datuk Dr Mohd Razin Kamarulzaman, berkata MAS melaksanakan saringan suhu badan terhadap penumpang ke China atau kembali ke tanah air.

Katanya, langkah itu selaras arahan Jabatan Kastam, Imigresen dan pihak berkuasa kuarantin di China, bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

“Sehubungan itu, MAS menasihatkan semua penumpang untuk tiba awal di lapangan terbang dan bergerak ke ruang pelepasan 90 minit sebelum penerbangan berlepas untuk proses saringan.

“Bagi keselesaan dan keselamatan penumpang serta anak kapal, mereka yang memiliki simptom demam, batuk dan kesukaran bernafas dinasihat untuk menangguhkan perjalanan bagi mengelak daripada tidak dibenarkan menaiki pesawat ke China,” katanya.

Mengenai kerisauan dijangkiti virus dalam penerbangan, Dr Mohd Razin menegaskan, pesawat memiliki sistem pengudaraan yang baik, menyebabkan risiko jangkitan sangat rendah.

“Berdasarkan maklumat syarikat pengeluar pesawat, udara dalam kabin dikitar semula selepas melalui tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA), yang mengurangkan kebarangkalian penumpang terdedah kepada bakteria dan virus menerusi kitaran udara dalam pesawat,” jelasnya.

Katanya, oleh kerana COVID-19, Malaysia Airlines sudah memulakan penggantian penapis HEPA untuk memastikan kecekapan pengaliran semula udara, sebagai tambahan langkah berjaga-jaga.

“Langkah kawalan untuk mengurangkan risiko penyebaran penyakit di kapal turut ditekankan, termasuk menyediakan kit penyakit berjangkit perubatan dalam setiap pesawat.

“Peralatan pakai buang seperti perkakas dan tuala dan membawa hidangan dari Kuala Lumpur untuk perjalanan pulang dari China juga mula digunakan buat masa ini,” katanya.

Pembersihan dalaman pesawat juga dipertingkatkan, terutama pada perkhidmatan penerbangan laluan Tanah Besar China iaitu Taipei, Hong Kong dan Singapura.

Selain itu, kimia pembasmi kuman khas turut digunakan untuk bahagian permukaan keras pesawat yang memerlukan tumpuan seperti tempat letak lengan, kerusi, meja, galei dan tandas.

Malaysia Airlines juga sudah menghentikan nightstops di Beijing Daxing dan Shanghai Pudong bagi mengehadkan risiko pendedahan terhadap jangkitan kepada krew dan asetnya.

Bagi pengendali KLIA Express, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) pula, regimen pembersihan yang ketat enam kali sehari di semua stesennya dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga dan juga untuk menimbulkan keyakinan penumpang, kakitangannya serta orang ramai untuk terus menggunakan pengangkutan awam.

ERL menekankan bahawa mereka membersihkan enam kali sehari dan membasmi kawasan hubungan tinggi di stesen seperti tempat pemegang, rel, rak bagasi, butang tekan pintu, tandas serta tempat duduk di kereta api.

ERL menggunakan pembasmian kuman lebih kuat ketika pembersihan untuk mengekalkan kebersihan piawai tinggi dengan menumpukan kepada lima bidang utama iaitu penumpang, kakitangan, kereta api, stesen dan kesedaran.

Begitu juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengeluarkan kenyataan bahawa garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan akan diikuti oleh semua kakitangannya yang bekerja di dua pintu masuk utama stesen kereta api di Johor Baru, Johor dan Padang Besar, Perlis.

“Semua kakitangan dikehendaki mengikuti semua aspek kesihatan dan keselamatan di stesen kereta api dan di setiap operasi perkhidmatan kereta api di dua pintu masuk utama,” kata kenyataan itu.

Langkah kesihatan dan keselamatan lain yang diambil oleh KTMB, termasuk penggunaan wajib topeng muka oleh kakitangan, bertujuan meningkatkan kesedaran langkah pencegahan.

Selain itu, KTMB memberi kerjasama sepenuhnya kepada kementerian kesihatan untuk penapisan serta kuarantin.

Di Lembah Klang, Rapid KL turut mengambil langkah tambahan untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada wabak COVID-19 untuk lebih dari satu juta penumpang yang berulang-alik dengan perkhidmatan bas dan kereta api setiap hari.

Syarikat itu juga menetapkan pemeriksaan kesihatan pagi untuk pemandu basnya sebelum ditempatkan di laluan masing-masing sebagai sebahagian daripada langkah untuk menjaga kesejahteraan kakitangannya.

Pemandu bas Rapid KL juga diberikan taklimat dengan maklumat mengenai virus, dari segi apa yang mereka boleh lihat dan prosedur operasi standard (SOP) dalam situasi kecemasan yang membabitkan pelanggan mereka.

Rutin itu dijalankan setiap hari di tujuh depoh Rapid KL dan Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kemunting dan Rapid Manjung.

Sementara itu, bagi peniaga dalam talian, Emmy Farina Malek, berkata beliau kerap berkunjung ke luar negara, terutama Indonesia dan Thailand bagi mendapatkan barang untuk jualan persiapan stok jualan Aidilfitri.

“Pada awalnya agak bimbang untuk merancang perjalanan dalam sebulan dua ini, tetapi terpaksa diteruskan juga kerana persediaan jualan perlu dipersiapkan segera.

“Inisiatif daripada syarikat penerbangan bagi menghalang penularan virus amat melegakan saya,” katanya.

Pegawai bank, Amir Ashraf pula berkata, beliau suka melancong ke luar negara bersama isteri dan sudah pun merancang percutian pada awal April depan.

“Saya sedang berkira-kira sama ada untuk meneruskan atau tidak. Ramai yang menasihatkan saya menjauhkan diri dari kawasan orang ramai,” katanya.

Berita Harian X