Jumaat, 21 Februari 2020 | 9:41pm
Bangunan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).
Bangunan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

RUU Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan digubal - MESTECC

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju dengan memorandum dibentangkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk menerajui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

MESTECC dalam kenyataan hari ini, berkata proses penggubalan RUU ini langkah pelengkap kepada pelbagai usaha kerajaan menangani pencemaran jerebu rentas sempadan.

“Pada masa ini, tiada undang-undang khusus dalam negara yang membolehkan Malaysia mengambil tindakan ke atas syarikat atau individu beroperasi di luar negara yang menjadi punca dan penyebab insiden jerebu rentas sempadan.

“Penggubalan RUU ini membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih cekap terutama terhadap syarikat atau individu dari Malaysia bagi membendung pencemaran jerebu rentas sempadan disebabkan pembakaran ladang serta hutang tidak terkawal.

“Jadi, MESTECC sudah memulakan proses penggubalan RUU ini dan akan membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pemegang taruh dan pakar memandangkan RUU ini akan merangkumi pelbagai elemen seperti sekuriti, geopolitik, keselamatan data serta membabitkan fungsi dan bidang kuasa pelbagai kementerian berkaitan,” kata kenyataan itu.

RUU berkenaan dijangka akan menekankan elemen waspada, pencegahan dan hukuman bagi membendung insiden jerebu rentas sempadan pada masa depan.

Sehubungan itu, MESTECC optimis pendekatan sedemikian penting supaya masalah jerebu rentas sempadan dapat dibendung secara holistik.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Malaysia berperanan aktif dalam menangani insiden jerebu rentas sempadan sejak 1997 dengan bertindak memeterai Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang klausa dalam perjanjian ini yang membolehkan hukuman dan tindakan punitif diambil ke atas pesalah yang menyebabkan jerebu merentas sempadan.

“Insiden jerebu merentas sempadan yang berlaku hampir setiap tahun disebabkan pembakaran hutan dan ladang memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar, ekonomi, kesihatan awam serta kesejahteraan rakyat di rantau ini termasuk Malaysia.

“Berdasarkan kajian terdahulu, insiden jerebu menyebabkan negara mengalami kerugian ekonomi RM1.49 bilion (2013) dan RM1.16 bilion (2015) membabitkan pelbagai sektor, tidak termasuk kos pemadaman kebakaran, operasi pembenihan awan, pembatalan jadual penerbangan, acara sukan dan kemusnahan biodiversiti serta ancaman perubahan iklim,” katanya.

Berita Harian X