Khamis, 20 Februari 2020 | 7:03pm
Anwar menjadi tetamu pada program simposium anjuran HELP Universiti di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun
Anwar menjadi tetamu pada program simposium anjuran HELP Universiti di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

Mesyuarat Majlis Presiden PH tumpu isu ekonomi - Anwar

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) esok akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan ekonomi berbanding hal peralihan kuasa Perdana Menteri.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu peralihan kuasa hanya menjadi sebahagian topik perbincangan dalam mesyuarat yang dihadiri pimpinan dari empat parti utama PH.

“Ya, (perbincangan isu) peralihan sebahagian yang sudah dipersetujui. (Akan) dapat diselesaikan dalam setengah jam.

“Fokusnya (esok) adalah isu ekonomi,” katanya ditemui media selepas menjadi tetamu pada program simposium anjuran HELP Universiti di sini, hari ini.

Anwar berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menyatakan komitmen untuk menyerahkan kuasa selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), jadi tidak wajar bagi kedua-dua pihak didesak mengenai isu peralihan.

“Perdana Menteri sudah menyatakan selepas perbincangan kami (sebelum ini) bahawa ia akan dilaksana selepas APEC.

“Jadi kita akan berurusan dengan ini dan saya tidak fikir sesiapa saja perlu diletakkan di bawah tekanan. Baik saya atau Dr Mahathir,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengulangi gesaannya supaya proses peralihan ini berjalan dengan tenang, teratur dan mengambil muafakat sebagai satu pasukan.

Ditanya sama ada bersetuju jika beliau menyertai Kabinet terlebih dulu sebelum mengambil alih kuasa Perdana Menteri, Anwar berkata, perkara itu sama sekali tidak ada dalam perancangan.

Mengulas kenyataan Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim, akan berlaku ‘sesuatu perkara’ sebelum November ini, Anwar berkata itu hanya pandangan peribadi Rais.

“Saya tidak tahu. Saya hanya mengikut ketetapan. Dalam perbincangan saya dengan Dr Mahathir, itu kedudukannya dan saya hanya meneruskan (perancangan),” katanya.

Rais menerusi ciapan Twitter hari ini berkata sesuatu akan berlaku sebelum November ini, iaitu tempoh dikatakan berlaku peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar.

Ditanya mengenai kenyataan pimpinan PAS bahawa perjanjian peralihan kuasa dibuat PH tidak berperlembagaan, Anwar meminta PAS meneliti semula perlembagaan dan memahami sejarah negara.

Berita Harian X