Khamis, 20 Februari 2020 | 12:04pm

COVID-19: Pemain industri pelancongan mungkin terima bantuan kewangan

SHAH ALAM: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mungkin menyalurkan bantuan berbentuk kewangan kepada pemain industri pelancongan bagi merangsang sektor itu supaya tidak terlalu terjejas susulan penularan wabak COVID-19 hampir di seluruh dunia sekarang ini.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata ia susulan sektor pelancongan dilihat mengalami kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan tempahan hotel, pakej pelancongan dan tiket penerbangan yang ketara akibat penurunan kemasukan pelancong ke negara ini.

Katanya, pihaknya menyasarkan pakej rangsangan ekonomi yang akan diterima kementerian itu akan dapat membantu pemain industri pelancongan di negara ini.

Kementerian akan melihat secara terperinci jumlah yang diperlukan oleh pemain industri terutamanya yang terkesan susulan penularan COVID-19.

“Ketika ini, kita sedang menghadapi penurunan kemasukan pelancongan asing ke negara ini dan mengakibatkan sumber ekonomi juga menurun.

“Oleh kerana ia membabitkan kerugian kewangan, mungkin kita akan bantu dari segi sumber kewangan. Anda tahu wabak virus sekarang orang takut hendak melancong ke luar negara, jadi tempahan hotel, tiket kapal terbang dan sebagainya banyak dibatalkan.

“Pembatalan ini membabitkan jutaan kerugian sumber kewangan. Jadi kita akan melihat bantuan kepada pemain industri, mungkin menerusi sumber kewangan tetapi kita tidak tahu. Kita akan nanti lihat secara terperinci berapa yang perlu diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan minggu depan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menaruh harapan tinggi sama ada pakej itu dapat mencapai matlamat Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

“Kita tidak mempunyai harapan sebegitu tinggi kerana masalah virus adalah masalah global yang turut memberi kesan kepada kedatangan pelancong,” katanya.

Terdahulu Mohammadin dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti oleh Kolej Universiti Lincoln (LUC) di Ideal Convention Centre, di sini hari ini.

Beliau menerima anugerah yang disampaikan oleh Pro Canselor LUC, Prof Datuk Dr Bibi Florina Abdullah, menyifatkan penganugerahan itu adalah penghargaan kepadanya dan kementerian.

“Penganugerahan hari ini adalah satu yang terbaik dan bersejarah kerana kita dapat lihat ramai pelajar akan menerima Ijazah dari Lincoln University.

“Saya berterima kasih banyak di atas Penganugerahan ini. Saya amat menghargainya dan ini kali kedua doktor kehormat ini,” katanya.

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi (tengah) menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti oleh Kolej Universiti Lincoln (LUC) yang disampaikan oleh Pro Canselor LUC, Prof Datuk Dr Bibi Florina Abdullah di Ideal Convention Centre, Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi (tengah) menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti oleh Kolej Universiti Lincoln (LUC) yang disampaikan oleh Pro Canselor LUC, Prof Datuk Dr Bibi Florina Abdullah di Ideal Convention Centre, Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X