Selasa, 18 Februari 2020 | 10:21pm
Yuan Yu Fang dibenarkan pulang selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di Nilai, petang tadi. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Yuan Yu Fang dibenarkan pulang selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di Nilai, petang tadi. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Yu Fang gembira kembali ke pangkuan keluarga

NILAI: “Saya amat lega sebaik tempoh kuarantin tamat dan disahkan sihat oleh pasukan pemeriksaan kesihatan.

“Selama tempoh dua minggu ini pelbagai rasa resah menyelubungi diri saya,” kata bekas atlet kebangsaan, Yuan Yu Fang.

Atlet jalan kaki berusia 44 tahun itu antara 107 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu, dibenarkan pulang selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di sini, petang tadi.

Yu Fang berkata, dia pergi ke Wuhan bersama seorang anaknya berusia sembilan tahun pada 25 Januari lalu dan berada di sana selama seminggu.

Menurutnya, dia terpaksa memendekkan tempoh urusan di Wuhan selepas wilayah itu dilanda wabak coronavirus baharu (COVID-19).

“Sebaik tiba di Malaysia, saya terus ditempatkan di pusat ini (AKEPT) sebagai langkah keselamatan selama dua minggu.

“Sepanjang tempoh berada di sini, kami diberikan layanan dan pemerhatian yang baik oleh pasukan petugas.

“Saya sangat berpuas hati di atas kerjasama serta sokongan yang diberikan pasukan pemantauan di sini.

“Kami menjalani dua ujian pemeriksaan kesihatan ulangan dan mendapat keputusan negatif serta disahkan sihat,” katanya ketika ditemui di pekarangan blok yang menempatkan semua 107 individu yang dikuarantin.

Yu Fang dijemput suaminya di pekarangan bangunan itu untuk pulang ke rumah mereka di Kuala Lumpur.

Beliau gembira apabila dapat pulang ke pangkuan keluarga dan disahkan bebas daripada COVID-19.

“Ia memberi pengalaman yang sukar dan tidak mungkin saya lupakan sepanjang hayat,” kata atlet berpengalaman dan legenda negara itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa semua 107 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China, 4 Februari lalu, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Dr Dzulkefly menegaskan bahawa semua mereka disahkan negatif selepas menjalani dua ujian ulangan, termasuk dua individu dilaporkan positif COVID-19 sebelum ini.

Berita Harian X