Selasa, 18 Februari 2020 | 6:53pm

Orang awam diberi peluang beri idea PSKL 2040

KUALA LUMPUR: Orang awam termasuk golongan profesional berpeluang mengemukakan idea dan maklum balas terhadap penyediaan Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040, selama sebulan bermula hari ini.

Bagi memudahkan proses mengumpul maklumat berkenaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan pameran PSKL itu di Menara DBKL 1, setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, pameran mini bergerak juga diadakan di Perpustakaan Kuala Lumpur cawangan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dari 18 hingga 24 Februari, manakala Pejabat cawangan Lembah Pantai serta Seputeh (25 Februari hingga 3 Mac).

Pusat membeli-belah AEON Maluri dan AEON Wangsa Maju (3 hingga 10 Mac) manakala AEON Kepong dan Endah Parade (11 hingga 17 Mac).

Pegawai Perancangan Bandar DBKL, Abdullah Hakim Abdul Hamid, berkata sambutan pameran di DBKL dan TTDI setakat jam 5 petang hari ini amat memberangsangkan.

“Kita lihat puluhan pengunjung terdiri daripada penduduk, golongan profesional dan wakil syarikat melawat pameran berkenaan, pada hari pertama ia dianjurkan.

“Namun, bagi mereka yang tidak sempat untuk singgah ke pameran ini diberikan alternatif memberikan pendapat mereka menerusi laman web rasmi DBKL.

“Selepas kita menerima cadangan daripada mereka dalam tempoh sebulan ini, satu sesi mendengar pandangan awam melalui Jawatankuasa Pendengaran Awam akan dianjurkan,” katanya ketika ditemui BH di Menara DBKL 1, di sini, hari ini.

Susulan itu, Abdullah Hakim, berkata DBKL akan menyediakan draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, pada Ogos ini.

“Kita akan buat pusingan kedua untuk mendapatkan maklum balas membabitkan pelan tempatan pula.

“DBKL harap dapat mewartakan pelan Kuala Lumpur ini menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Berita Harian X