Isnin, 10 Februari 2020 | 3:32pm
PELAJAR OKU, M Punithavalli, 17, menunjukan kad OKU kerana cacat kaki kiri sejak lahir ketika menerima lawatan pihak sekolah dalam Program Ziarah Cakna di rumahnya di Taman Wawasan, Lukut, Port Dickson. NSTP/Mohd Khidir Zakaria
PELAJAR OKU, M Punithavalli, 17, menunjukan kad OKU kerana cacat kaki kiri sejak lahir ketika menerima lawatan pihak sekolah dalam Program Ziarah Cakna di rumahnya di Taman Wawasan, Lukut, Port Dickson. NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Tabah ke sekolah walaupun berkaki satu sejak lahir

PORT DICKSON: Kekurangan dirinya dengan kecacatan kaki kiri sejak lahir, tidak melemahkan semangat seorang pelajar di sini, untuk berusaha mencapai cita-cita demi menjadi guru suatu hari nanti.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, M Punithavalli, 17, yang mesra dipanggil Punitha, yang juga anak bongsu daripada tiga beradik, hanya menggunakan kaki palsu sebelah kiri tidak pernah menyesali takdir menimpanya dan reda dengan kekurangan itu.

“Memang pergerakan saya terbatas kerana perlu dibantu dengan tongkat untuk bergerak, namun saya bertuah kerana mempunyai ramai kawan-kawan sekelas yang ringan tulang membantu.

“Tahun ini saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berharap dapat menjawab soalan dengan baik kerana mahu melanjutkan pelajaran setinggi yang mampu demi mencapai cita-cita menjadi guru,” katanya.

Punitha berkata, ibunya, J Suppayee, 48, menghidap kencing manis yang kronik sejak hampir 10 tahun lalu sehingga kaki kiri terpaksa dipotong hingga ke paras lutut.

“Kami hanya bergantung kepada ayah, M Murigan, 49, yang bekerja sebagai pemandu lori dan dua abang sudah bekerja dan tinggal berasingan. Setiap hari saya ke sekolah menumpang kereta kawan yang di hantar bapanya,” katanya.

Katanya, dia dan ibunya tidak mendapat bantuan bulanan mana-mana pihak walaupun mereka ada kad akuan Orang Kurang Upaya (OKU) sejak dahulu lagi.

“Bagaimanapun saya rasa bertuah kerana rakan-rakan dan guru yang baik dan sering membantu dan secara tidak langsung menaikkan semangat saya untuk terus belajar,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya dekat Taman Wawasan, Lukut di sini hari ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Raja Jumaat, Akashah Ismail, berkata hari ini ada program Ziarah Cakna anjuran Guru Bimbingan Kaunseling yang mana pihak sekolah mengadakan lawatan ke rumah pelajar yang terpilih

“Pelajar ini (Punitha) walaupun cacat kaki kiri tiada, hanya memakai kaki palsu dan bergerak dengan dua tongkat tetapi dia antara murid cemerlang di sekolah.

“Ziarah Cakna ini memberi kesan kerana kita (pihak sekolah) dapat mengenali dan merasai kehidupan pelajar kami yang serba kekurangan di samping memberi semangat untuk terus belajar dengan cemerlang,” katanya.

Turut hadir dalam program ini, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Raja Jumaat, Mat Mahmod Tafri.

Tamat...

Berita Harian X