Sabtu, 8 Februari 2020 | 3:05pm
Pengurusan dan warga kerja PLUS bersama 400 rakan niaga, penyedia perkhidmatan, kontraktor, pengawal selia dan agensi kerajaan melafazkan ikrar bebas rasuah disaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Hari Integriti, baru-baru ini. - Ihsan PLUS
Pengurusan dan warga kerja PLUS bersama 400 rakan niaga, penyedia perkhidmatan, kontraktor, pengawal selia dan agensi kerajaan melafazkan ikrar bebas rasuah disaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Hari Integriti, baru-baru ini. - Ihsan PLUS

PLUS ikrar bebas rasuah

KUALA LUMPUR: Pengurusan dan warga kerja PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersama 400 rakan niaga, penyedia perkhidmatan, kontraktor, pengawal selia dan agensi kerajaan menyatakan komitmen untuk bebas rasuah dengan melafazkan ikrar bebas rasuah disaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata mana-mana organisasi yang berhasrat untuk berkembang maju dan menjadi nilai kepada masyarakat perlu memastikan barisan kepemimpinan mengamalkan nilai integriti dengan sepenuh hati.

Ini kerana, katanya ia adalah aspek terpenting dalam memacu kebenaran dan ketelusan dalam kehidupan seharian.

Katanya, PLUS sendiri mengamalkan toleransi sifar terhadap semua bentuk rasuah dan percaya bahawa integriti sebenar adalah melakukan perkara yang betul apabila tiada sesiapa yang melihat.

“Dalam usaha memperkukuh tadbir urus korporat, PLUS juga menubuhkan Jawatankuasa Governans, Risiko dan Pematuhan di peringkat Jawatankuasa Lembaga Pengarah dan disokong oleh Unit Governans dan Integriti selari dengan Panduan SPRM dan Pelan Antirasuah Nasional.

“PLUS juga sedang berusaha untuk mencapai standard MS ISO 37001 melalui amalan antirasuah. Usaha dan inisiatif PLUS dalam memerangi rasuah tidak boleh dilakukan secara bersendirian, oleh itu semua pihak yang berurusan dengan PLUS dijemput untuk bekerjasama dalam mewujudkan sebuah ekosistem yang sihat, kondusif dan beretika.

“Sebagai peringatan, PLUS turut mencipta tagline #pilihintegrititiadatoleransi,” katanya pada Hari Integriti, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil; Timbalan Pesuruhjaya (Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat) SPRM, Razim Mohd Noor; Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi) SPRM, Mohamad Ahmad @ Puteh; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Abdullah Hashim; Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Ketua Pegawai Governans dan Risiko PLUS, Satpal Singh.

Pada majlis itu, ikrar bebas rasuah ditandatangani Azman bersama anggota PLUS Ronda, Pembantu Khidmat Pelanggan PLUS, rakan niaga dan penyedia perkhidmatan yang terbabit dengan syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, PLUS juga melancarkan Panduan Antirasuah dan Korupsi (ABAC) yang menggariskan 10 prinsipal utama integriti, selain turut menyediakan 112 latihan bersemuka bagi semua 3,800 warga kerjanya di 17 pejabat operasi wilayah dan seksyen PLUS di seluruh negara.

Berita Harian X