Khamis, 6 Februari 2020 | 5:54pm
ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di Hong Kong. - Foto AFP
ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di Hong Kong. - Foto AFP

Coronavirus: Tiada rakyat Malaysia dijangkiti di China

KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia di China khususnya di Wuhan yang disahkan positif coronavirus baharu (2019-nCoV).oleh pihak berkuasa kesihatan China setakat ini.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, berkata berdasarkan rekod pihaknya, tidak ada yang dijangkiti wabak itu, biarpun sebelum ini dilaporkan dua rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, disahkan dijangkiti.

"Setahu saya tidak ada," katanya ketika ditanya sama ada kira-kira 34 rakyat Malaysia di Wuhan serta di wilayah lain di China ada yang disahkan dijangkiti coronavirus dan sedang dirawat di hospital di sana.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan dua warga tempatan yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan, positif dijangkiti coronavirus.

Mengulas mengenai usaha membawa pulang baki rakyat Malaysia di Wuhan, Nushirwan berkata keputusan berkaitan itu akan dibuat Putrajaya.

Setakat ini, katanya pihak kedutaan hanya memantau dan berkomunikasi dengan semua rakyat Malaysia di sana bagi mendapatkan perkembangan terkini termasuk tahap kesihatan dan keperluan mereka.

"Pihak kedutaan masih berhubung dengan mereka dan sedang mendapatkan butiran rakyat Malaysia lain di kawasan berkenaan (Wuhan).

"Pengumuman sama ada untuk membawa mereka pulang akan dibuat oleh Putrajaya," katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, kira-kira 30 rakyat Malaysia di Wuhan tidak dapat pulang ke tanah air menerusi bantuan kemanusiaan selepas berdepan masalah logistik.

Berita Harian X