Khamis, 6 Februari 2020 | 3:19pm
AHLI Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan. NSTP/Zulfadhli Zulkifli.
AHLI Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan. NSTP/Zulfadhli Zulkifli.

Seimbangkan reformasi institusi dengan nilai

KANGAR: Proses pembaikan negara perlu seimbang antara pembentukan dan reformasi institusi dengan pembentukan nilai positif dalam masyarakat.

Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan, berkata pada masa ini, tumpuan kerajaan lebih kepada pembentukan dan reformasi institusi.

“Reformasi institusi adalah penting dan wajib diteruskan tetapi ia tidak akan lestari jika tiada usaha gigih untuk melakukan reformasi terhadap nilai juga.

“Reformasi institusi tidak akan bertahan lama jika masyarakat tidak ditanamkan dengan nilai positif seperti rajin bekerja, amanah dan malu untuk melakukan kesalahan.

“Bunyinya mungkin mudah, tetapi di mana sebenarnya usaha kita sebagai kerajaan menanam nilai yang bunyinya mudah ini?” katanya dalam kenyataan kenyataan di sini, hari ini.

Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, beliau bersetuju dengan amanat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menekankan kepentingan pembentukan nilai dalam pembangunan modal insan terutama dalam mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ketika berucap kepada warga Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya pagi tadi.

“Beliau menegaskan sebagai orang Melayu, beliau sayangkan bangsa dan negara serta atas perasaan itulah, beliau mahukan bangsa Melayu dan negara kita menjadi bangsa dan negara yang berjaya.

“Bagi saya, keinginan melihat bangsa dan seterusnya negara kita mencapai kejayaan adalah satu wawasan murni yang wajib disokong oleh semua pihak dan penekanan yang diberi oleh Tun Mahathir terhadap kepentingan pembinaan nilai juga adalah tepat,” katanya.

Berita Harian X