Khamis, 6 Februari 2020 | 2:54pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (kanan) mengedarkan risalah mengenai jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) kepada peniaga di Pasar Besar Seremban, pada program Info On Wheel. - Foto BERNAMA
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (kanan) mengedarkan risalah mengenai jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) kepada peniaga di Pasar Besar Seremban, pada program Info On Wheel. - Foto BERNAMA

Henti sebarkan maklumat palsu coronavirus

SEREMBAN: Orang ramai diminta tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan penyakit coronavirus (2019-nCoV) kerana ia boleh memberi kesan tidak baik dan menggugatkan ketenteraman awam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo, berkata orang ramai perlu sama-sama bertanggungjawab dalam membantu menangani penyakit berkenaan dengan tidak menyebarkan maklumat palsu, terutama menerusi laman sosial.

“Semua sedia maklum bahawa laman sosial adalah medium baharu dalam dunia berteknologi tinggi sekarang dan komunikasi melaluinya akan tetap berterusan setiap hari.

“Namun, apa yang membimbangkan kita adalah segelintir pihak didapati, cuba mengambil kesempatan mengeluarkan berita tidak benar khususnya mengenai coronavirus.

“Tindakan itu akan beri kesan tidak baik dan mencemaskan rakyat ketika orang ramai berada dalam kebimbangan serta keresahan berikutan penularan penyakit itu.

“Justeru, kita (KKMM) ambil langkah proaktif menerusi pelbagai pendekatan bagi mengurangkan atau mengelak berita palsu itu daripada terus menular di laman sosial.

“Kita sudah jelaskan bahawa kerajaan amat serius terhadap perkara ini (berita palsu) kerana ia boleh beri kesan tidak baik selain menggugat kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan risalah mengenai pelbagai insentif dilakukan kerajaan untuk kepentingan rakyat, di Pasar Besar Seremban, di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong.

Gobind berkata, kerajaan bertindak tegas dan tidak akan bertolak ansur terhadap berita palsu yang disebarkan pihak tertentu.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Jabatan Penerangan (JaPen) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sentiasa memastikan bahawa maklumat berkenaan kaedah pencegahan penyakit itu disalurkan kepada masyarakat.

“Orang ramai seharusnya merujuk di portal yang disediakan KKMM iaitu Sebenarnya.my kerana portal itu adalah pusat sehenti bagi rakyat untuk menyemak kesahihan maklumat, sebelum berkongsi mana-mana berita diterima secara dalam talian khususnya laman sosial.

“Rakyat boleh mendapatkan maklumat mengenai coronavirus secara terus menerusi portal berkenaan di bawah kategori Coronavirus 2019-nCov,” katanya.

Gobind berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menangani isu berita palsu.

“Kita tidak mahu perkara ini terus berleluasa dan kita juga tidak sekat mana-mana pihak buat laporan kepada pihak berkuasa mengenai isu berita palsu kerana polis akan bertindak mengikut undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Berita Harian X