Khamis, 6 Februari 2020 | 10:56am
LOKASI suspek bersembunyi di sekitar Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu.- NSTP/Juwan Riduan
LOKASI suspek bersembunyi di sekitar Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu.- NSTP/Juwan Riduan

Polis kepung Kampung Pondo, Pulau Gaya

KOTA KINABALU: Polis kini sedang mengepung kawasan Kampung Pondo dekat Pulau Gaya yang dipercayai menjadi tempat persembunyian suspek yang melepaskan tembakan menyebabkan tiga mangsa termasuk dua kanak-kanak cedera parah, malam tadi.

Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu, Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Pasukan Polis Marin (PPM) sedang melakukan kepungan terhadap lokasi suspek bersembunyi sejak jam 8 malam tadi hingga kini.

Difahamkan, suspek disyaki bersenjata dikatakan menggunakan bot kampung dan bersembunyi di bawah rumah atas air di sekitar Kampung Pondo, Pulau Gaya.

ANGGOTA polis yang menjalankan operasi mengesan suspek disyaki bersembunyi di sekitar Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu.- NSTP/Juwan Riduan
ANGGOTA polis yang menjalankan operasi mengesan suspek disyaki bersembunyi di sekitar Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu.- NSTP/Juwan Riduan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata sepasukan polis sedang mengawal laluan keluar di kawasan persembunyian suspek.

“Kita sudah mengenal pasti lokasi suspek dan sedang membuat kepungan di lokasi persembunyian suspek.

“Ini bagi mengelak suspek daripada melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 malam tadi, suspek menembak tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Dua mangsa berusia 36 dan 10 tahun parah manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera ringan dan semua mangsa stabil dan dirawat di HQE.

Sebelum kejadian itu juga, suspek dipercayai turut melarikan enjin dan bot nelayan di kawasan perairan Kinarut dan Meruntum.

Berita Harian X