Rabu, 5 Februari 2020 | 4:11pm

HUSM jadi tumpuan rawatan kanser

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kini menjadi hospital tumpuan di negara ini terutama di Pantai Timur bagi merawat penyakit kanser berikutan terdapat ramai pakar perubatan.

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata kerana hanya HUSM sahaja yang memiliki mesin radioterapi bagi perawatan penyakit kanser, manakala rawatan kemoterapi dan sebagainya boleh dibuat di hospital lain.

Beliau berkata terdapat 1,828 kes baharu tahun lalu dan lebih 4,000 kes ulangan setiap tahun menjadikan HUSM tumpuan bagi rawatan penyakit kanser di Malaysia khususnya penduduk di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Daripada statistik kanser di seluruh hospital Pantai Timur yang diperoleh melalui data yang dikumpulkan oleh HUSM sehingga 31 Disember lalu, bilangan pesakit kanser tertinggi adalah kanser payu dara bagi wanita iaitu 1,097 pesakit.

“Ini membabitkan 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit kanser, manakala yang kedua tertinggi ialah kanser hidung yang membabitkan 262 pesakit, seterusnya kanser usus, kanser pangkal rahim (serviks), kanser paru-paru dan kanser rahim (ovari),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanser Sedunia 2020 Peringkat HUSM di sini, yang turut dihadiri Penyelaras Klinikal, Onkologi klinikal, HUSM Dr Wan Mohd Nazri Wan Zainon.

Bagi lelaki pula, katanya kanser paling tinggi membabitkan kanser usus yang disebabkan oleh faktor pemakanan, diikuti kanser paru-paru, kanser prostat, kanser pangkal hidung dan kanser hati.

Dr Ahmad Sukari berkata, pihaknya merangkakan pelbagai kaedah perubatan yang boleh membantu pesakit kanser yang bukan sahaja membabitkan aspek perawatan dengan kos tinggi, malah turut mengambil kira tahap kesengsaraan pesakit.

“Banyak langkah yang perlu dibuat, antaranya kempen bagi aspek menjaga kesihatan dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan larian.

“Ia tidak membabitkan pesakit kanser sahaja, sebaliknya keluarga juga turut diberi kesedaran dan melakukan aktiviti seminggu sekali bagi sama-sama memberi sokongan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X