Isnin, 3 Februari 2020 | 8:51pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah hari ini menzahirkan harapan agar semua rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Wuhan, China berada dalam keadaan sihat. - NSTP/Mikail Ong
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah hari ini menzahirkan harapan agar semua rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Wuhan, China berada dalam keadaan sihat. - NSTP/Mikail Ong

Seri Paduka doa misi bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah hari ini menzahirkan harapan agar semua rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Wuhan, China berada dalam keadaan sihat.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara, baginda juga menzahirkan harapan agar mereka dihindari daripada jangkitan coronavirus (2019-nCoV) serta penyakit yang tidak diingini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, memaklumkan Seri Paduka yang sentiasa mengikuti perkembangan mengenai coronavirus amat prihatin dengan keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia di Wuhan berikutan penularan dan peningkatan kes jangkitan 2019-nCoV di China.

“Seri Paduka mendoakan agar mereka semua yang akan dibawa pulang dilindungi daripada simptom coronavirus dan semoga mereka dapat bersama dengan keluarga serta sanak saudara tercinta secepat mungkin.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya pegawai dan kru penerbangan yang terbabit atas usaha menjayakan kelancaran misi ini untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan atas usaha memantau tahap kesihatan semua rakyat Malaysia berkenaan apabila mereka tiba di Malaysia dan memastikan mereka bebas daripada jangkitan 2019-nCoV serta penyakit yang tidak diingini.

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dilaporkan berkata, seramai 137 nama disenaraikan untuk dibawa keluar dalam misi hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata hanya rakyat Malaysia di Wuhan yang sihat akan dibawa pulang dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus tiba.

Coronavirus yang dikesan mula tercetus dan menular dalam kalangan manusia dari pasar makanan laut di Wuhan, wilayah Hubei, China, sejak Disember lalu kini mengorbankan 362 nyawa dan menjangkiti seramai 17,387 orang di seluruh dunia.

Virus baharu yang mengundang risiko tinggi dalam kalangan orang tua, kanak-kanak dan mempunyai masalah kesihatan itu setakat ini sudah merebak ke 27 negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Berita Harian X