Sabtu, 1 Februari 2020 | 8:00pm
Laporan BH semalam.
Laporan BH semalam.

Lonjak sektor koperasi ke peringkat lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk menggabungkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) berupaya membentuk satu agensi tunggal yang lebih cekap serta menyeluruh dari segi kos dan tadbir urus.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, menjelaskan penggabungan itu mampu menjadikan sektor koperasi lebih berdaya saing dalam memainkan peranan besar terutama membantu golongan isu rumah B40.

“SKM dan IKM adalah dua institusi yang saling memerlukan dan langkah kerajaan untuk menggabungkannya sangat tepat kerana mampu melonjakkan lagi sektor koperasi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Penggabungan ini sudah semestinya satu cara memastikan pembaharuan yang ingin dilaksanakan kerajaan berupaya menepati matlamat yang diinginkan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

BH dalam laporan eksklusifnya semalam melaporkan SKM dan IKM akan digabungkan bagi membentuk agensi tunggal, selaras langkah rasionalisasi kerajaan untuk melancarkan aspek urus tadbir.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai. - Foto NSTP
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai. - Foto NSTP

Penggabungan dua entiti kerajaan itu yang dijangka selesai tahun ini antara lain akan menyaksikan kewujudan struktur pengurusan baharu dan penggubalan akta baharu, demi meningkatkan keberkesanan lebih banyak koperasi berkualiti.

Dalam pada itu, Barjoyai meminta kerajaan supaya tidak menghapuskan identiti IKM sebagai institusi melahirkan generasi dan pelapis penggiat koperasi yang berwibawa.

“Sebenarnya IKM adalah pelengkap kepada SKM. Buat masa ini, IKM hanya melahirkan penggiat koperasi dengan sijil diploma dan mungkin selepas ini kerajaan boleh menaikkan taraf IKM supaya dapat mengeluarkan ijazah pula.

“Ini juga selaras dengan saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan koperasi memainkan peranan lebih besar dalam memajukan negara,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X