Sabtu, 1 Februari 2020 | 6:25pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Hairul Anuar Rahim
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kerjasama industri halal Malaysia, Jepun mampu jadi kuasa besar ekonomi halal global

Kuala Lumpur: Kerjasama Malaysia dan Jepun dalam pembangunan industri halal mampu meletakkan dua negara itu sebagai kuasa besar dalam ekonomi halal dunia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perjanjian yang dimeterai antara Halal Development Corporation Bhd (HDC) dengan Acrosx Japan Incorporated (ACROSX) adalah asas yang boleh memacukan usaha meneroka pasaran dan ekonomi halal global.

Katanya, perjanjian persefahaman antara dua organisasi itu juga adalah platform untuk pertukaran pengetahuan dan kepakaran serta perkongsian keupayaan antara kedua negara.

“Perjanjian ini juga mewujudkan landskap perniagaan yang rancak dan mampan bagi segmen pengguna mesra muslim di Jepun. Selain itu, ia juga akan membuka peluang baharu perniagaan Malaysia menyertai ekonomi halal negara itu yang pantas berkembang,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara HDC dan ACROSX di Tokyo, semalam.

Beliau kini berada di negara matahari terbit itu mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) sempena lawatan kerja enam hari bermula hari ini hingga 6 Februari ini.

Dalam lawatan kerja itu, delegasi itu akan menghadiri beberapa acara, lawatan tapak, taklimat serta mesyuarat dengan pegawai kanan Jepun untuk meneroka bidang kerjasama baharu di samping memperkukuh hubungan ekonomi di antara Malaysia dengan Jepun dalam sektor pendidikan, pertanian, infrastruktur, pertahanan selain usaha Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Mohamed Azmin berkata, nilai eksport halal Malaysia ke Jepun dianggarkan pada RM2.5 bilion pada 2018 yang mana 90 peratus daripadanya terdiri daripada makanan, produk dan bahan halal selain sektor pengeluaran logistik, perkilangan dan perkhidmatan.

Beliau menjelaskan, perjanjian persefahaman dimeterai itu juga akan menyokong minat Jepun untuk mengukuhkan lagi pertumbuhan sektor halal dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam sektor berkenaan.

“Malaysia sudah lama meneroka industri halal malah dikenali sebagai menjadi perintis kepada penciptaan nilai dan pertumbuhan ekonomi halal dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya MOU ituakan membolehkan HDC dan Acrosx berkembang dan mewujudkan rangka kerja kerjasama strategik

antara kedua-dua organisasi melalui nasihat pakar, pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal untuk mewujudkan landskap perniagaan yang bertenaga dan mampan untuk segmen mesra pengguna Islam di Jepun.

“Kerjasama ini membolehkan Jepun meneroka industri halal sebagai sektor perniagaan baharu seterusnya berada dalam aliran semasa yang menunjukkan pertumbuhan pesat dalam segmen mesra pengguna Islam di rantau ini. Kita percaya kerjasama antara HDC dan Acrosx akan membuka peluang baru untuk usahawan kecil dan sederhana di Malaysia menembusi pasaran halal Jepun dan meneroka peluang pasaran baru untuk eksport produk halal ke Jepun.

“MoU ini juga satu peluang berharga untuk Malaysia dalam meningkatkan perdagangan dua hala dengan Jepun, terutamanya melalui bekalan bahan halal dan produk separuh diproses yang sangat diperlukan pasaran dunia,” katanya.

Berita Harian X