Jumaat, 31 Januari 2020 | 5:14pm

Laporan tular 3 warga tempatan dijangkiti coronovirus palsu

GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menafikan terdapat kes tiga warga negara Malaysia dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat jangkitan 2019 novel coronavirus seperti ditular di aplikasi WhatsApp, hari ini.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini, berkata mesej tular seorang lelaki dan anak perempuannya serta seorang wanita menerima rawatan di HPP selepas terkena jangkitan coronavirus adalah tidak benar.

“Satu lagi sebaran berita palsu, sentiasa rujuk dengan sumber yang sah di saluran yang betul. Berita palsu seperti itu tidak memberikan apa-apa manfaat kepada semua. Jadi (kepada) pengguna media sosial yang bijak dan matang, jika perkara ini berlaku lagi pada masa akan datang, mohon untuk tidak sebarkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.– BERNAMA

Berita Harian X