Khamis, 30 Januari 2020 | 1:07pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. NSTP/Luqman Hakim Zubir.
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. NSTP/Luqman Hakim Zubir.

Masih awal untuk ukur prestasi kemasukan pelancong

KOTA BHARU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyifatkan masih terlalu awal untuk mengukur prestasi kemasukan pelancong ke Malaysia sama ada terjejas atau sebaliknya, berikutan penularan coronavirus (2019-nCoV).

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi, berkata ia berikutan penularan virus berkenaan berlaku dalam tempoh kurang dari setengah bulan.

“Kalau kita melihat jangkitan 2019-nCoV yang menular, sebetulnya bukan Malaysia sahaja sebaliknya ia masalah dunia. Negara lain pun sama sahaja.

“Jadi, kalau kita nak kata industri pelancongan terjejas, masih terlalu awal kerana virus itu tidak sampai setengah bulan berlaku.

“Namun, kita tetap kekalkan sasaran 30 juta pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia (VM2020). Capai ke tidak bukan soalnya tetapi kita kekalkan sebagaimana disasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis bersama usahawan sempena Festival Kraf di Dataran Muhammadi, di sini, hari ini.

Mohammadin berkata, pihaknya akan mendapatkan jumlah kemasukan pelancong ke Malaysia sepanjang Januari daripada Jabatan Imigresen.

Malaysia tegasnya, tidak bergantung kepada satu negara sahaja untuk menarik kemasukan pelancong, sekali gus mencapai sasaran 30 juta pelancong.

“Sebagai contoh tahun lalu, pelancong dari Singapura mencatatkan kemasukan paling ramai, bukannya dari China.

“Bukan sahaja Malaysia, sebaliknya semua negara tidak bergantung kepada satu negara sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai Tourism Recovery Committee bagi memantau perkembangan semasa berhubung isu coronavirus, Mohammadin berkata jawatankuasa itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Berita Harian X