Khamis, 30 Januari 2020 | 12:25pm

15 anggota TLDM di Qidong akan dibawa pulang

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang menguruskan pergerakan pulang 15 anggotanya yang kini mengikuti latihan penyesuaian Kapal Misi Pesisir (LMS) di Qidong, Shanghai dalam tempoh terdekat.

Cawangan Komunikasi Strategik TLDM menjelaskan, seramai 12 orang, merangkumi pegawai dan anggota lain-lain pangkat ditugaskan di Qidong bagi memantau projek pembinaan kapal di Wuhan, China, selari penubuhan pasukan projek LMS TLDM (PPLMS TLDM), sejak 8 Julai 2017 lalu.

TLDM turut menghantar 45 orang bakal warga LMS kedua, Sundang sejak 5 November 2019 lalu ke Qidong, Shanghai bagi mengikuti latihan penyesuaian dan seterusnya membawa kapal berkenaan pulang ke Malaysia pada pertengahan April, tahun ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 42 orang pulang ke Malaysia susulan cuti perayaan Tahun Baharu Cina sejak 17 Januari lalu, manakala baki 15 orang masih berada di Qidong, Shanghai.

“TLDM sentiasa berhubung dengan mereka dan memantau perkembangan terkini di China. Sehingga kini, tiada sebarang kes jangkitan coronavirus (2019-nCoV) membabitkan warga TLDM.

“Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, TLDM sedang menguruskan pergerakan pulang 15 anggota ini ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan penularan wabak yang setakat ini mengorbankan 170 nyawa dan menjangkiti 7,812 orang itu, TLDM menegaskan pihaknya memantau rapi perkembangan semasa, khususnya membabitkan aspek kesihatan anggota.

Bagi memastikan semua usaha pencegahan dan kawalan berupaya dilaksana secara lancar, TLDM menyuarakan harapan supaya tiada penyebaran maklumat tidak sah atau palsu berhubung coronavirus, membabitkan projek LMS sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang maklumat lanjut akan dihebahkan melalui saluran rasmi TLDM,” katanya.

Berita Harian X