Rabu, 29 Januari 2020 | 8:56am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

PIKKS selaras pelaksanaan program kesedaran siber - Dr Wan Azizah

PUTRAJAYA: Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sedang membangunkan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber (PIKKS), satu pelan strategik menggariskan peranan dan tanggungjawab pelbagai pihak berkepentingan dalam pelaksanaan program kesedaran keselamatan siber di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pelan itu bertujuan menyelaras pelaksanaan program kesedaran keselamatan siber di peringkat nasional dalam memastikan lebih ramai orang awam mendapat manfaat daripada penganjuran program kesedaran itu.

“Ia juga akan dilengkapi dengan perancangan dalam mempromosikan kesedaran dan keselamatan siber, memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna internet dan media sosial khususnya golongan kanak-kanak, remaja dan ibu bapa,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian dalam satu temu bual khas bersama Bernama dan RTM di pejabatnya di sini.

Beliau menambah selain orang awam, PIKKS juga akan memfokuskan kepada penerapan amalan kebersihan siber kepada organisasi awam dan swasta termasuk Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII).

Katanya, dokumen PIKKS itu dijangka dikeluarkan pada Oktober tahun ini selepas mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata latih amal krisis siber negara yang dikenali sebagai X-Maya dijangka diadakan November tahun ini membabitkan sekurang-kurangnya 100 agensi CNII bagi menguji kesiapsagaan dalam menghadapi ancaman serangan siber.

“Tahun lalu kita terbabit di peringkat Asia Pasifik, kita pernah buat di Malaysia dan tahun ini sekali lagi kita akan buat dalam negara. Inisiatif ini akan membantu kerajaan mengenal pasti kelemahan dan jurang daripada aspek prosedur dan kepakaran teknikal agensi kritikal negara seterusnya melaksanakan penambahbaikan dalam meningkatkan tahap keselamatan siber secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengumumkan seramai 100 wanita akan dipilih pada tahun ini bagi menyertai program Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber (EWCRM).

Program itu menyasarkan golongan wanita profesional yang telah berhenti kerja melebihi tempoh enam bulan atas sebab peribadi dan keluarga untuk diberikan latihan dan kemahiran dalam bidang keselamatan siber.

“Program ini merupakan sambungan program yang telah dilaksanakan pada tahun lepas di mana 30 wanita telah menyertai program yang memfokuskan antaranya latihan dan kemahiran pengurusan keselamatan siber, perlindungan data peribadi, pengurusan risiko dan insiden keselamatan siber,” katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X