Selasa, 21 Januari 2020 | 3:25pm
KETUA Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), Sazally Saidi. NSTP/Aziah Azmee.
KETUA Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), Sazally Saidi. NSTP/Aziah Azmee.

Keputusan pengambilalihan 4 lebuh raya diharap pada Mac

KUALA LANGAT: Empat pemegang konsesi lebuh raya utama di negara ini berharap keputusan berhubung pengambilalihan lebuh raya kendalian mereka dapat diketahui selewat-lewatnya pada Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), Sazally Saidi, berkata sehingga ini, belum ada kata putus dan perbincangan masih dilakukan dari semasa ke semasa.

“Perbincangan ketika ini membabitkan semua pemegang saham dan pihak kerajaan.

“Sehingga kini, tiada sebarang jawapan daripada kerajaan dan kita berharap segala hasil perbincangan itu dapat dimuktamadkan penghujung Mac ini,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sazally bersama Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Mohammed Shah Samin dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), Mohd Noor Mohd Ali menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada warga emas di Rumah Sejahtera, Jenjarom di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mengemuka tawaran pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya utama itu membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Empat lebuh raya terbabit ialah LITRAK pada nilai RM2.47 bilion; SPRINT (RM1.984 bilion); KESAS (RM1,377 bilion) dan SMART pada nilai RM369 juta.

Pengambilalihan empat lebuh raya itu akan menjadi perintis dalam usaha membantu meringankan beban rakyat menerusi pengurangan kadar tol pada waktu tertentu.

Berita Harian X