Selasa, 21 Januari 2020 | 2:30pm
Pengerusi Yayasan Ecoworld, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto BERNAMA
Pengerusi Yayasan Ecoworld, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto BERNAMA

Sajian percuma perlu seimbang, berkhasiat

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan sekolah terbabit dengan Program Penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (PP RMT) perlu memastikan hidangan sajian percuma itu seimbang mengandungi pelbagai nutrien dan pengendaliannya mengikut tatacara kebersihan.

Pengerusi Yayasan Ecoworld, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata makanan seimbang secara tidak tidak langsung akan membekalkan tenaga dan merangsang otak pelajar menjadi lebih cergas serta produktif ketika proses pembelajaran di dalam kelas, sepanjang hari.

“Pihak sekolah kena pastikan makanan disediakan berkhasiat kerana ia secara tidak langsung membentuk ‘mood’ pelajar sepanjang sesi pembelajaran.

“Kalau pelajar mendapat sajian yang mempunyai kurang zatnya, mereka akan menjadi lesu dan tidak bersemangat. Pada masa sama, ia juga perlu disediakan dalam persekitaran bersih.

“Kita tidak mahu lagi mendengar kes pelajar keracunan makanan, sediakan sajian sihat mengikut tatacara kebersihan bagi memastikan program terbabit dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya pada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, guru di sekolah terbabit juga perlu memastikan PP RMTdikhususkan kepada pelajar tidak berkemampuan sahaja.

“Guru kena pantau PP RMT ini kerana ia masih dalam peringkat awal. Pastikan pelajar yang miskin sahaja mendapat sarapan itu.

“Tidak tidak adil jika bantuan berkenaan turut diberikan kepada anak golongan kaya yang mampu membeli makanan sendiri,” katanya.

Semalam, kira-kira 4,000 murid di 100 sekolah terpilih di seluruh negara menikmati sajian percuma menerusi PP RMT.

Sejumlah RM22 juta diperuntukkan untuk program itu yang menyasarkan murid sekolah rendah dalam kalangan keluarga miskin tegar, miskin serta murid kurang upaya (OKU) dan Orang Asli.

Berita Harian X