Isnin, 20 Januari 2020 | 3:26pm
Hygroscopic flare dipasang pada pesawat sebelum diterbangkan bagi tujuan operasi pembenihan awan di Kawasan Muda. - Ihsan MADA
Hygroscopic flare dipasang pada pesawat sebelum diterbangkan bagi tujuan operasi pembenihan awan di Kawasan Muda. - Ihsan MADA

Pembenihan awan kawasan Muda diteruskan hari ini

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), meneruskan operasi pembenihan awan di kawasan Muda, hari ini.

Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali, berkata operasi berkenaan diteruskan seperti yang dirancang, namun operasi terakhir yang dijangka dilaksanakan esok akan bergantung kepada kesediaan awan dan kelembapan yang sesuai.

“Operasi ini kita teruskan di kawasan tadahan empangan serta dataran Kawasan Muda.

“Sekiranya operasi ini berjaya, hujan dijangka dapat meningkatkan paras takungan empangan dan membantu pengairan di kawasan sawah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fouzi berkata, kedudukan paras air di tiga empangan utama negeri ini terus menurun hari ini.

Katanya, sehingga jam 8 pagi tadi Empangan Muda mencatatkan paras air sebanyak 13.52 peratus; Empangan Pedu 45.09 peratus dan Empangan Ahning, 61.36 peratus.

“Berbanding semalam, Empangan Muda mencatatkan paras 14.42 peratus, Empangan Pedu 45.59 peratus dan Empangan Ahning 61.57 peratus.

“Pelepasan harian sebanyak 127.5 meter padu sesaat daripada empangan sedang dibuat untuk tujuan pengairan tanaman padi serta kegunaan bekalan air mentah domestik,” katanya.

Bagaimanapun Fouzi berkata, apabila paras takungan air Empangan Pedu turun melepasi paras 27%, keutamaan pelepasan air akan diberikan kepada kegunaan domestik.

Berita Harian X