Rabu, 15 Januari 2020 | 5:07pm

Kabinet bincang cadangan ambil alih PLUS

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini membincangkan cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata mesyuarat itu membincangkan banyak perkara termasuk isu pengambilalihan PLUS serta tol.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran perbincangan dan jika ada pengumuman penting, ia akan diumumkan secara bertulis.

Kabinet hari ini membincangkan cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang. - Foto hiasan
Kabinet hari ini membincangkan cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang. - Foto hiasan

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika ada pengumuman ia akan diberikan secara bertulis kerana ia adalah pengumuman penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Peruntukan RM100 juta daripada Kementerian Kewangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bagi menyelenggara dan menaik taraf sekolah tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama rakyat.

Ketika ditanya mengenai beberapa laporan mengatakan Khazanah Nasional Bhd berjaya kekal untuk memiliki PLUS bagi posisi tertentu, Guan Eng berkata, sekiranya ada pengumuman mengenai isu terbabit, ia akan diberikan secara bertulis.

Setakat ini, lima pembida dilaporkan sudah mengemukakan tawaran rasmi mengambil alih PLUS iaitu RRJ Capital, Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad serta yang terbaharu daripada Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPBP).

Lebuh raya yang terbabit dalam konsesi PLUS ialah Lebuh Raya Utara Selatan; Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA); Jambatan Pulau Pinang; Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE); Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE); dan Lebuh raya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Pada Disember lalu, Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan berkata, Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentangkan semula.

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah). UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

Berita Harian X