Selasa, 14 Januari 2020 | 10:23pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Hairul Anuar Rahim
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Hairul Anuar Rahim

Anwar ulangi pendirian peralihan kuasa perlu secara aman, teratur

Anwar ulangi pendirian peralihan kuasa perlu secara aman, teratur

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

wananwar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak tidak menterjemah secara negatif kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedia melepaskan jawatan Perdana Menteri serta-merta jika itu kehendak Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, Presiden PKR itu kekal dengan pendiriannya sebelum ini yang mahu pelan peralihan kuasa beliau menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir dibincang secara tertib dan berlangsung secara aman serta teratur.

“Seperti mana saya ulang, ia (peralihan kuasa) harus diadakan dengan baik. Dr Mahathir banyak pengalaman, banyak jasa dan kita ada muafakat serta janji.

“Sebaiknya ia dijalankan secara baik. Saya tidak setuju jika proses itu tidak secara aman dan teratur,” katanya kepada media selepas menghadiri program ceramah di Kimanis, Sabah, malam tadi.

Awal hari ini, Dr Mahathir menyatakan beliau sedia melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri serta-merta jika Majlis Presiden PH mahu beliau berbuat demikian.

Namun, beliau berkata, sebarang isu berkaitan peralihan kuasa akan diputuskan Majlis Presiden PH yang dianggotai empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang peralihan kuasa perlu dilaksanakan pada Mei ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perkara itu tertakluk kepada persefahaman yang beliau pegang bersama Dr Mahathir sebelum ini.

“Ia patut dibincangkan dengan cermat dalam PH, walaupun Dr Mahathir sendiri sedia melepaskan jawatannya, ia tidak patut dilihat dalam sudut negatif,” katanya.

Berhubung kes pemimpin AMK dikaitkan dengan dadah di Puchong kelmarin, Anwar berkata, PKR akan merujuk kepada Lembaga Disiplin bagi menentukan tindakan sewajarnya.

“Jika sah umpamanya ujian polis dan penangkapan itu, selalu kita ambil tindakan segera gantung. Kita tidak boleh bertolak ansur. Selalu dalam parti kita serah kepada Lembaga Disiplin.

“Tetapi jangan ada gambaran parti atau pemimpin tidak tegas untuk menghadapi soal rasuah dan jenayah,” katanya.

Berita Harian X