Ahad, 12 Januari 2020 | 1:41pm
Gambar fail, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah
Gambar fail, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah

Perkenal subjek didik penjawat awam kekang rasuah

KUALA LUMPUR: Subjek baharu mengenai integriti perlu diperkenalkan atau dimasukkan dalam semua program latihan dan sukatan pelajaran untuk kakitangan awam, termasuk yang dilaksanakan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia penting kerana statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan 46.3 peratus daripada 4,860 individu ditahan berkaitan rasuah dari 2014 hingga Jun tahun lalu adalah penjawat awam.

"Kebanyakan kesalahan dilakukan kakitangan dalam sektor perolehan dan satu tinjauan yang disusun oleh SPRM juga mendedahkan 22.1 peratus responden dalam sektor awam berkata mereka sanggup menerima rasuah jika mereka berada dalam kedudukan kuasa.

"Implikasi rasuah oleh penjawat awam sangat besar. Salah laku mereka akan menyebabkan berbilion ringgit apabila peruntukan untuk rakyat tidak sampai kepada kumpulan sasaran. Apabila mereka disabitkan dan dipenjarakan, keluarga mereka juga akan berasa malu dan terpengaruh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, kajian yang dilakukan SPRM kepada 1,000 penuntut universiti juga mendapati 16 peratus sanggup menerima rasuah dan 18.5 peratus akan menerima rasuah jika mereka tidak menghadapi apa-apa tindakan.

Malah, satu lagi tinjauan mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah yang dijalankan Institut Integriti Malaysia (IIM) mendedahkan, satu dalam setiap tiga pelajar universiti tempatan berpendapat bahawa menerima hadiah dalam bentuk wang, barang atau perkhidmatan sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan bukanlah rasuah.

Justeru, katanya kerajaan juga perlu memperkenalkan kurikulum baharu di sekolah bagi membolehkan pelajar mempelajari kesan negatif rasuah dan mengapa ia tidak boleh diterima.

"Ini adalah tepat pada masanya kerana nilai dan integriti yang baik harus ditanamkan dalam kalangan generasi muda semasa mereka masih bersekolah.

"Ia boleh membantu membangunkan budaya kejujuran, amanah dan integriti supaya menjadi cara hidup pemimpin masa depan kita," katanya.

Berita Harian X