Ahad, 12 Januari 2020 | 1:15pm
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (dua dari kiri) bertanya sesuatu dengan murid pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Murid B40 SWM Environment Sdn Bhd, SWM Kasih, di Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya,Kulai. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Gangguan seksual: Pengetua dipindahkan ke PPD

KULAI: Pengetua sekolah yang didakwa terbabit dalam gangguan seksual terhadap seorang pelajar lelaki di Johor Bahru, sudah ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memudahkan siasatan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kes berkenaan kini sedang disiasat oleh Jabatan Pendidikan Johor.

"Kementerian Pendidikan amat memandang serius dakwaan gangguan seksual ini apatah lagi ia didakwa dilakukan seorang pengetua cemerlang terhadap pelajarnya sendiri.

"Kita sudah ambil langkah mengeluarkan pengetua terbabit dari sekolah berkenaan dan ditempatkan di PPD supaya siasatan berjalan lancar dan tiada gangguan ke atas mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan persekolahan murid B40 SWM Environment Sdn Bhd, SWM Kasih di Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya, dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan terhadap pengetua cemerlang sebuah sekolah yang dilaporkan sedang disiasat atas dakwaan terbabit dalam gangguan seksual terhadap seorang pelajar lelaki di Johor Bahru.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (tengah) bergambar bersama murid selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Murid B40 SWM Environment Sdn Bhd, SWM Kasih, di Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya,Kulai. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pengetua berkenaan dilaporkan turut didakwa menghantar mesej berunsur lucah, yang kini viral dalam media sosial.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, kementerian berharap mangsa tampil membuat laporan polis jika siasatan JPN Johor mengesahkan gangguan seksual berkenaan berlaku.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, pengetua berkenaan boleh berdepan tindakan tatatertib dan didakwa mengikut undang-undang sekiranya terbukti terbabit dalam kes itu.

"Bentuk hukuman hanya akan diketahui selepas semua siasatan selesai dan pengetua terbabit terbukti bersalah," katanya.

Berita Harian X