Khamis, 9 Januari 2020 | 9:26pm
RATU ais Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua kiri) bersama tiga pelapisnya (dari kiri) Nurul Atiqah Tamarun, Siti Jumaidah Bensali dan Salehah Abu Nor selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Noor Atiqah Sulaiman
RATU ais Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua kiri) bersama tiga pelapisnya (dari kiri) Nurul Atiqah Tamarun, Siti Jumaidah Bensali dan Salehah Abu Nor selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Noor Atiqah Sulaiman

3 'ratu ais' tiba di tanah air selepas jelajah Antartika

SEPANG: Tiga ‘ratu ais’ yang menyertai Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA), selamat tiba di tanah air selepas berjaya melaksanakan misi ke Kutub Selatan sejak 25 Disember lalu.

Mereka ialah ahli farmasi, Nurul Atiqah Tamarun, 31; anggota tentera, Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34; dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri, Salehah Abu Nor, 33.

Mereka ialah protege Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Abdul Kadir, yang turut sama mengikuti misi pengembaraan berkenaan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang tadi.

Ketiga-tiga wanita itu dipilih selepas berjaya mengharungi pelbagai ujian mental dan fizikal yang ditetapkan AWETA, sekali gus mengetepikan 1,000 peserta lain sejak penyertaannya dibuka pada 2017.

Salehah ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana berjaya menyempurnakan misi itu walaupun berdepan pelbagai cabaran, antaranya kurang sihat dan diminta untuk berehat.

“Ketika itu, paras ketinggian semakin bertambah mungkin disebabkan tidak biasa, muka saya kena Edema dan atas sebab itu saya terpaksa berehat dari meneruskan perjalanan.

“Namun semuanya berjaya diatasi dan kami berjaya menyempurnakan misi. Diharapkan kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Mazlina berkata, hasrat untuk membawa pelapisnya ke Antartika tersemat sejak kali pertama menjejakkan kaki di Antartika pada 2004.

“Saya ke sana ada beberapa tujuan, pertama untuk membawa pelapis dan kedua bagi mencari kembali kapsul masa yang pernah ditanam lebih 15 tahun lalu.

“Pada tahun 2004, ketika misi menanam kapsul masa itu saya sudah berniat akan kembali dengan membawa pelapis. Supaya apabila saya tiada nanti, misi ini akan diteruskan,” katanya.

Mengenai kapsul masa itu, Syarifah Mazlina berkata, beliau sudah menjangka ia sukar dicapai kerana objek berkenaan sudah tertimbus dengan salji.

“Di Antartika itu, dalam setahun ketebalan bagi ais batu atau salji diumpamakan meningkat setinggi setingkat bangunan. Bayangkan sudah berapa lama saya tinggalkan, tidak mungkin kami akan mengorek salji.

“Kami ada mencari, saya juga ada memberi bacaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) kepada pelapis saya, namun kedudukannya dilihat sedikit berubah dan menjadikan semakin sukar,” katanya.

Berhubung misinya selepas ini, beliau akan memberi tumpuan pada program badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperkasakan wanita.

“Saya mahu memujuk generasi muda wanita untuk bergiat aktif dan tidak hanya duduk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti atau hanya bermain permainan di telefon bimbit.

“Saya fikir jangka panjang, jika semua masyarakat jalani gaya hidup sihat, ia akan beri faedah kepada negara di mana mengurangkan kos kerajaan dari sektor perubatan dan kesihatan,” katanya.

Berita Harian X