KUALA LUMPUR: Seramai 2,721 individu hilang pekerjaan, termasuk kakitangan Media Prima Berhad (Media Prima) yang terbabit pelaksanaan transformasi merangkumi perubahan model perniagaan dan penstrukturan semula dalaman syarikat itu, menghadiri temu duga kerja terbuka anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), hari ini.
Temu duga melalui Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) selama dua hari hingga esok itu diadakan di 15 pejabat PERKESO negeri bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dengan membabitkan penawaran 3,056 jawatan kosong.
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata program itu disertai 50 majikan daripada pelbagai industri, termasuk Jakel Trading, St Jude Medical Operation Sdn Bhd dan Park Inn by Radisson Putrajaya.