Rabu, 8 Januari 2020 | 6:08pm
 Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin. - Foto NSTP
Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin. - Foto NSTP

Individu penting dari UAE takut maklumat bocor

KUALA LUMPUR: Rakaman audio didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, mendedahkan seorang individu penting dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dikaitkan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sangat berhati-hati ketika berbicara mengenai isu berkenaan.

Ia dijelaskan bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, kepada bekas Perdana Menteri itu menerusi rakaman audio dipercayai panggilan telefon antara beliau dan Najib, kira-kira jam 12.14 pagi pada 29 Julai 2016.

Berdasarkan rakaman audio yang didedahkan hari ini dan diyakini tulen oleh SPRM itu, Amhari dihubungi Najib yang bertanyakan sama ada beliau (Amhari) berjaya menghubungi dan bercakap dengan individu berkenaan.

Sepanjang perbualan lima minit itu, kedua-duanya tidak merujuk secara jelas identiti individu terbabit.

Namun, dipercayai individu itu merujuk kepada Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC), Khaldoon Al-Mubarak.

Najib: Awak dapat bercakap dengan dia?

Amhari: Ya... dia mencadangkan penyelesaian ketika dia berada di Abu Dhabi... sebab dia sangat prihatin mengenai di mana dia berada dan semua panggilan ini, dia bimbang dengan panggilan ini, dia rasa tak selesa, dia kata tolong beritahu, cara terbaik untuk melindungi ketua kita adalah kita tidak bercakap. Tetapi jika mahukan juga, dia boleh buat demikian bila dia balik ke Abu Dhabi, dia cakap dia tengah cuti tetapi dia tolong juga untuk penyelesaian kedua.

Najib: Susah la macam ni dia tak nak jumpa, dia cakap tak?

Amhari: Dia nak bercakap (tetapi) nak berjumpa pun dia kata sangat bahaya... dia kata opsyen nombor dua akan berlaku dalam masa dua hari tetapi untuk dia bercakap soal itu, dia sangat risau, takut bocor.

Najib: (tidak jelas) bahagian kedua

Amhari: Untuk bahagian kedua, dua pihak akan bertemu dan mereka akan melaporkannya kepada dia, apa yang diputuskan di meja rundingan, sama ada dia boleh uruskan atau tidak.

Najib: Bahagian kedua mudah, Sheikh Mansour hanya perlu menandatangani surat mengatakan jumlah itu adalah pinjaman.

(Sheikh Mansour dipercayai merujuk kepada Pengerusi International Petroleum Investment Company (IPIC), Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan)

Amhari: Tetapi saya yakin dia setia kepada mereka, menasihatkan dia untuk apa juga langkah berjaga-jaga.

Najib: (tak jelas)

Amhari: Apa juga dia akan bantu.. dia kata beritahu ketua kamu, untuk bercakap dengan saya adalah berisiko, dia pula yang ‘lecture’ saya bahawa kita perlu melindungi ketua kita.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X