Isnin, 6 Januari 2020 | 8:00pm
Perangkap feromon yang digunakan untuk memerangkap kumbang merah palma. - Ihsan Jabatan Pertanian
Perangkap feromon yang digunakan untuk memerangkap kumbang merah palma. - Ihsan Jabatan Pertanian

Perangkap feromon boleh kawal populasi serangga

KUALA LUMPUR: Perangkap feromon adalah antara kaedah yang yang boleh digunakan untuk mengawal populasi kumbang merah palma yang menyerang batang pokok kelapa sawit.

Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) Jabatan Pertanian, Ngizailah Zakaria, berkata kawalan secara kimia iaitu penggunaan racun serangga juga boleh digunakan bagi membunuh semua peringkat kitaran kumbang itu.

“Kumbang merah palma itu boleh ditangkap menggunakan tong perangkap feromon. Ia bagi mengurangkan populasi kumbang dewasa dengan menggunakan uncang feromon dan digantung dalam tong untuk memerangkap serangga itu.

“Bagi pokok yang tinggi, kita cadangkan kaedah suntikan batang dengan racun bahan aktif monocrotophos atau methamidophos,” katanya kepada BH.

Ngizailah berkata, kesedaran orang ramai perlu dipertingkatkan untuk memastikan tiada sumber yang membawa masuk serangga ini.

“Usaha penghapusan dan kawalan dilaksanakan secara lebih menyeluruh untuk memastikan serangga ini tidak merebak dengan tiadanya perumah iaitu tanaman kelapa, palma hiasan, kurma, sagu dan lain-lain keluarga palma,” katanya.

Beliau turut menasihati petani supaya menitikberatkan pembersihan kawasan yang menjadi aspek penting iaitu menghapus tempat pembiakan kumbang tanduk dengan membuang pelepah pokok yang jatuh.

Katanya, terdapat dua spesies kumbang merah palma di Malaysia iaitu Rhychophorous ferrugineus (Rf) dan Rhynchophorous vulneratus (Rv).

Rf dianggap spesies asing dan ia lebih agresif berbanding Rv yang dilabel spesies tempatan.

“Berdasarkan rekod tangkapan Rf, kita dapat menangkap 15,020 ekor pada 2016. Jumlah itu meningkat pada 2017 iaitu 26,857 ekor.

“Pada 2018, jumlah ditangkap menurun kepada 21,980, tetapi sehingga Oktober 2019, ia meningkat kepada 27,483 ekor.

“Bagi Rv, jumlahnya sedikit iaitu hanya 1,738 ekor pada 2016; 3,706 ekor pada 2017; 3,268 pada 2018 dan setakat Oktober tahun lalu sebanyak 2,235 ekor ditangkap,” katanya.

Ngizailah berkata, keupayaan kumbang merah palma yang boleh terbang dari negara jiran antara faktor dikenal pasti wujudnya serangga perosak berbahaya itu di negara ini.

Katanya, kumbang itu boleh terbang masuk ke negara ini sejauh 700 meter dalam tempoh tiga hingga lima hari.

“Kumbang merah palma dewasa boleh terbang dari satu tempat ke satu tempat. Kemasukan kumbang merah palma ke negara ini berkemungkinan datang dari negara jiran melalui tanaman jenis palma.

“Kelapa sawit dan kelapa memang banyak ditanam di Thailand dan kawasan tanaman itu tidak ada sempadan fizikal.

“Ia masuk dari negara lain dengan bantuan tiupan angin dan aktif pada waktu malam,” katanya.

Berita Harian X