Ahad, 5 Januari 2020 | 8:00pm
Nur Azura menunjukkan contoh serangga kumbang palma merah yang merosakkan tanaman palma. - NSTP/Rosela Ismail

Kumbang 'kurma' ancam pokok sawit

KUALA LUMPUR: Usaha membawa masuk pokok kurma ke negara ini, sama ada ditanam untuk buah atau hiasan, dikesan menyumbang kepada kemasukan serangga perosak, kumbang merah palma, yang bersifat menyerang tumbuhan palma tempatan terutamanya kelapa dan sawit.

Telur kumbang merah palma atau nama saintifiknya, Rhynchophorus ferrugineus, yang ditinggalkan induknya menetas menjadi larva, kokun pupa dan pupa serta dewasa dalam tempoh empat bulan.

Ketika pada peringkat larva, ia memakan tisu tumbuhan palma yang didiami, manakala kumbang dewasa memakan umbut pucuk ketika memasuki batang untuk bertelur. Selain itu, ia juga memasuki batang tumbuhan palma menerusi lubang yang ditebuk kumbang tanduk.

Kesan serangan kumbang merah terbabit sukar disedari hingga saat akhir apabila hampir semua pelepah tumbuhan itu terkulai layu seakan-akan payung ditutup.

Pada tahap itu, pokok yang mengalami serangan kumbang berkenaan tidak mampu lagi diselamatkan, sebaliknya perlu ditebang sebelum dibawa keluar dan dimusnahkan di tempat lain.

Larva kumbang merah palma ditemui pada pokok. - Ihsan Jabatan Pertanian

Contoh pokok kelapa yang terkena serangan. NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Pensyarah Sistematik, Taksonomi dan Biodiversiti Serangga Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nur Azura Adam, berkata penyelidikan secara intensif kini perlu dijalankan sebelum serangan kumbang berkenaan merebak terhadap kelapa sawit, kerana boleh menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata, kehadiran kumbang merah palma ke negara ini mula dilaporkan sejak 2007, tetapi ketika itu tiada maklumat terperinci mengenai asal usul kemasukannya.

“Perlu ada penyelidikan lebih intensif kerana di negara lain seperti Indonesia, ia sudah menyerang tanaman sawit. Kita bawa pokok (pohon kurma) yang menjadi tempat tinggal atau perumah kumbang terbabit dalam batang dan pucuk.

“Kebimbangan kita sekarang adalah serangan terhadap tanaman komoditi seperti sawit dan kelapa kerana kajian mendapati ia ada potensi,” katanya.

Nur Azura berkata, telur yang dihasilkan serangga terbabit akan menetas dan terhasil larva yang akan memakan tisu umbut dalam batang dan pucuk pokok berkenaan.

“Apabila larva sudah ‘meratah’ tisu pokok berkenaan, pelepah akan layu seperti bentuk payung. Kumbang dewasa akan masuk ke batang yang cedera dan ada rekahan. Ia akan bertelur di dalamnya. Selalunya, apabila sampai ke tahap yang agak serius, baru boleh nampak simptom iaitu pelepah jatuh rebah, layu berbentuk payung.

Telur kumbang merah palma dijumpai di pokok sawit liar. - Ihsan Jabatan Pertanian

“Kita nampak pelepah itu tak terus jatuh. Ia akan berwarna kekuningan terlebih dahulu. Itu pun sudah agak serius, tetapi paling serius apabila semua pelepah habis jatuh dan hanya tinggal batang,” katanya.

Mengulas kitaran hidup kumbang merah palma, Nur Azura menjelaskan, walaupun serangga itu spesies asing di negara ini, kajian mendapati ia boleh mengadaptasi persekitaran seperti cuaca negara ini hingga membiak secara normal.

Beliau berkata, serangga dewasa ini boleh hidup sehingga lapan bulan dan mampu bertelur antara 250 hingga 300 biji secara purata.

“Serangga juga bergantung kepada faktor perubahan cuaca. Sekarang kita dalam perubahan cuaca. Ia mempengaruhi tahap kemandirian dan hidup sesuatu serangga.

“Cuma serangga ini boleh mengadaptasi dengan perubahan cuaca. Ia kadang-kadang boleh memendekkan jangka masa sesuatu peringkat hidup.

“Dari segi tahan lasak, apabila petani bergantung kepada racun perosak sepenuhnya kepada kawalan menggunakan bahan kimia, serangga itu mengadaptasi. Ia akan jadi rintang,” katanya.

Kumbang merah palma yang terperangkap dalam perangkap feromon. - Ihsan Jabatan Pertanian

Bahaya serangan kumbang merah palma ini menyebabkan serangga itu diwartakan sebagai perosak berbahaya mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, pada 19 Julai 2011.

Berdasarkan carian di laman web, Thailand yang mempunyai ladang kurma yang luas di kawasan Chiang Mai, memungkinkan negara gajah perang itu menjadi ‘hab’ membekalkan anak pokok kurma kepada petani dan nurseri di negara ini.

Petani dakwa serangga serang sawit liar

Seorang pekebun kecil mendakwa, dua pokok sawit berhampiran rumahnya di sempadan Perak-Selangor, diserang kumbang merah palma.

Beliau yang enggan namanya disiarkan, berkata pokok kelapa sawit muda yang terletak di belakang rumahnya itu berusia lingkungan tiga hingga empat tahun.

“Saya jumpa kumbang terbabit bukan dalam kebun kelapa sawit, sebaliknya ketika menebas semak kawasan rumah, selepas terlihat beberapa kumbang merah terbang di kawasan sekitar.

“Melihat dua pokok kelapa sawit muda yang tumbuh meliar itu, saya bertindak menebangnya sebelum mendapati sekumpulan kumbang berterbangan. Bila membelah batang pokok terbabit, saya menemui telur berwarna putih dan kumbang merah dewasa di dalamnya,” katanya yang bimbang kumbang berkenaan jika dibiarkan boleh menyerang ladang sawit berdekatan.

Kumbang merah palma pada batang pokok. - Ihsan Jabatan Pertanian

Beberapa pemilik ladang yang ditemui BH, antaranya di Pahang dan Selangor mengakui tidak tahu mengenai simptom serangan kumbang merah palma terhadap pokok kelapa sawit.

Pemilik kebun sawit di Ijok, Selangor, Rashid Seman, 55, berkata setakat ini kumbang tanduk menjadi ancaman terhadap tanamannya.

Pekebun dari Mentakab, Pahang, Sabarudin Ehsan, 54, berkata kebanyakan pekebun kecil kurang berpengetahuan mengenai serangan musuh sawit, terutama kumbang merah palma.

Larva kumbang merah palma. - Ihsan Jabatan Pertanian

Beliau mengakui belum berpengalaman melihat kesan serangan kumbang merah palma, kerana kebanyakan serangan terhadap kelapa sawit miliknya membabitkan kumbang tanduk.

Sementara itu, Ketua Unit Entomologi dan Mikrobiologi Gunaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Mazmira Mohd Masri, ketika dihubungi, berkata pihaknya akan menghantar beberapa pegawai ke kawasan yang dikesan mengalami serangan terbabit untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X