Jumaat, 3 Januari 2020 | 8:00pm
Keratan muka depan BH, semalam.

Lebih 20 'doktor Facebook' dikesan sebar dakyah

KUALA LUMPUR: Lebih 20 individu dikesan menjadi ‘doktor Facebook’ menyebarkan pelbagai dakyah di media sosial bagi mempengaruhi masyarakat untuk menolak kaedah perubatan moden, khususnya program vaksinasi.

Meskipun bilangan itu kecil, mereka mampu mempengaruhi pemikiran ramai walaupun berkongsi maklumat atau kajian yang diragui serta tidak sahih serta yang boleh disifatkan sekadar teori konspirasi.

Lebih membimbangkan, mereka juga dipercayai tiada latar belakang dalam bidang perubatan, sama ada pernah memeriksa atau melihat pesakit secara langsung di klinik atau hospital, cuma mungkin pernah berkhidmat di farmasi atau mempunyai ahli keluarga dalam industri berkaitan kesihatan.

BH difahamkan, sebahagian ‘doktor Facebook’ itu bekerja sebagai pegawai tentera, jurutera, bekas ahli farmasi dan lulusan doktor falsafah (PhD), manakala yang lain hanya menganggur atau berniaga sendiri, termasuk menjual makanan tambahan atau suplemen didakwa makanan sunnah.

Di Facebook, mereka sentiasa aktif berkongsi amalan alternatif yang didakwa mampu menggantikan perubatan moden, menyangkal program-program kesihatan dilaksanakan kerajaan dan turut menggalakkan orang ramai mengecam fakta yang dikongsi pengamal serta pakar perubatan sah.

Kumpulan berkenaan juga dikesan mempotretkan diri mereka sebagai individu yang tidak menolak rawatan perubatan moden, dipercayai untuk mengelirukan pengguna media sosial, sedangkan setiap posting mereka di Facebook, jelas memburukkan program perubatan kerjaaan, terutama berkaitan inisiatif vaksinasi.

Menurut sumber, dua ‘doktor Facebook’ yang terkenal lantang menolak kaedah perubatan moden, masing-masing terdiri daripada bekas ahli farmasi yang kini suri rumah dan seorang lulusan PhD dalam bidang ekonomi, manakala yang lain ada guru sekolah dan menjual suplemen.

Meskipun aktif di Facebook, katanya, kebanyakan mereka tidak berani menonjolkan diri sebaliknya memilih menggunakan ‘avata’' atau akaun palsu dengan berselindung di sebalik pelbagai nama.

Semalam BH mendedahkan, sekumpulan individu radikal antivaksin menggunakan laman Facebook yang berjaya menarik sehingga 40,000 ahli sebagai medan interaksi untuk bertukar pendapat, berkongsi idea serta memperjuangkan rawatan alternatif lain seperti doula, ganja, makanan sunnah serta pelbagai lagi.

Sementara itu, EXCO Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Megat Mohammad Amirul Amzar, menjelaskan sekurang-kurangnya 10 individu menjadikan laman Facebook kumpulan berkenaan sebagai saluran untuk mempengaruhi orang ramai.

“Mereka sering mempersoalkan keberkesanan dan keselamatan vaksin, alternatif kepada vaksin serta isu halal haram vaksin yang menjadi fokus utama mempengaruhi dan mengubah pandangan ahli. Mereka persoalkan mengapa walaupun dengan vaksin, penyakit masih ada.

“Malah, mereka sanggup memanipulasi data vaksinasi demam campak dengan mendakwa liputan vaksin itu setinggi 95 peratus, tetapi masih ada kes jangkitan. Sebenarnya fakta yang dirujuk mereka adalah ketika liputan vaksin hanya 80 hingga 85 peratus.

“Mereka berkongsi masalah kesihatan tetapi mengaitkannya dengan vaksin, mendakwa kematian boleh dielakkan dengan cara rawatan mereka. Mereka juga bercakap mengenai halal-haram (vaksin), menuduh mufti tidak mengambil laporan lengkap dan hanya dengar sebelah pihak,” katanya.

Dr Amirul yang juga aktivis pengambilan vaksin, mendakwa hujah-hujah dalam perbincangan yang disertakan fakta sebenar akan ditapis dalam kumpulan itu, dipercayai untuk memastikan ia tidak sampai kepada ahli mereka.

“Pengelola (admin) laman itu adalah antivaksin tegar. Jadi, apabila ada pihak cuba memberi penjelasan bersama fakta, biasanya pihak berkenaan akan diserang beramai-ramai. Jika usaha itu gagal, mereka akan sekat individu atau pihak terbabit,” katanya.

‘Mereka umpama si rabun memimpin si buta’

‘Doktor Facebook’ yang aktif menyebarkan dakyah menolak perubatan moden, boleh diibaratkan seperti ‘si rabun memimpin si buta’ kerana mereka tiada pengalaman dalam bidang perubatan, sebaliknya hanya mengutip maklumat dari internet.

Ahli kimia, Dr Che Puteh Osman, berkata golongan itu biasanya berkongsi maklumat yang kurang tepat untuk cuba mempengaruhi orang lain.

Ahli kimia, Dr Che Puteh Osman. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Katanya, maklumat yang dikongsi mereka juga biasanya bukan secara keseluruhan, sebaliknya maklumat saintifik melencong, iaitu memilih apa yang mereka suka sahaja.

“Dari sudut perubatan, saya sendiri tidak akan memberi pandangan kerana ia bukan bidang saya, tetapi maklumat berkaitan rawatan perubatan alternatif banyak disalah tafsir sehingga membahayakan kesihatan ramai,” katanya.

Beliau memberi contoh, ada dakwaan bahawa madu bagus untuk bayi, tetapi faktanya adalah makanan itu tidak boleh diberikan kepada bayi berusia bawah setahun kerana risiko botulism atau keracunan yang tinggi.

“Habbatus sauda pula secara saintifiknya memang herba berguna, tetapi kajian klinikal kesan penggunaannya oleh manusia masih berjalan dan belum konklusif. Ia tidak merawat semua penyakit seperti disebut dan tidak boleh ditafsir secara literal (tersurat),” katanya kepada BH.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu mengingatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan maklumat yang tidak sahih, sebaliknya mendapatkan pandangan pakar perubatan terlebih dahulu.

“Media sosial hari ini perlu ditangani sebaiknya kerana terlalu banyak maklumat bercanggah yang akhirnya memberi kesan buruk kepada masyarakat, terutama dari segi kesihatan,” katanya.

Berita Harian X