Rabu, 1 Januari 2020 | 2:43pm

SKMM buka tender spektrum 5G

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuka tender bagi spektrum 700 MHz dan 3.5 GHz bagi pelaksanaan rangkaian telekomunikasi selular generasi kelima (5G) kepada sebuah konsortium merangkumi beberapa pemegang lesen sedia ada.

Pendekatan itu dipilih berbanding pelaksanaan oleh pemegang lesen individu bagi mengurangkan perbelanjaan modal dengan meminimumkan kos serta mengelakkan pertindihan infrastruktur.

SKMM dalam kenyataan hari ini menjelaskan, pelaksanaan 5G di Malaysia akan dibuat menerusi jalur spektrum 700 MHz, 3.5 GHz dan 26/28 GHz sebagai jalur spektrum perintis berikutan perkembangan ekosistem dan pelaksanaan 5G yang pesat di seluruh dunia.

Sejajar pendekatan baharu itu, SKMM menjelaskan ia akan hanya memperuntukkan 2x30 MHz bagi jalur spektrum 700 MHz dan 100 MHz bagi jalur spektrum 3.5 GHz. Frekuensi selebihnya akan dipertimbangkan pada peringkat seterusnya.

Penguntukan bagi jalur spektrum 26/28 GHz akan dilakukan melalui dua kaedah. Frekuensi 24.9 GHz hingga 26.5 GHz akan diperuntukkan melalui proses tender kepada pemegang lesen untuk penggunaan seluruh negara, manakala frekuensi 26.5 GHz hingga 28.1 GHz akan dibuka kepada mana-mana pihak (termasuk bukan pemegang lesen) untuk penggunaan kawasan setempat atau rangkaian persendirian.

SKMM menjangkakan pengkomersialan 5G di Malaysia akan bermula pada suku ketiga tahun ini apabila selesainya proses penguntukan spektrum. Ini adalah selari dengan perbincangan oleh Pasukan Petugas Khas 5G Negara yang telah ditubuhkan sejak November 2018 dan dianggotai 114 organisasi daripada sektor swasta, kementerian dan agensi mewakili bahagian bekalan dan permintaan dalam ekosistem itu.

Peruntukan bagi pelaksanaan 4G sedia ada akan dikekalkan. Ini termasuk pengekalan peruntukan bagi jalur-jalur spektrum 2300 MHz dan 2600 MHz hingga Disember 2021.

SKMM akan akan melaksanakan semakan semula peruntukan di kedua-dua jalur spektrum berkenaan pada tahun 2021.

Berita Harian X