Selasa, 31 Disember 2019 | 9:19pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Dakwaan serangan timbul ketika siasatan

PUTRAJAYA: Dakwaan mengenai serangan dalam tahanan membabitkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), timbul ketika siasatan berkaitan pemerasan oleh polis dalam kes dadah dilakukan secara besar-besaran oleh SPRM Selangor.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, berkata operasi khas itu dijalankan oleh pegawai SPRM di seluruh Selangor.

“Sebenarnya ketika ini SPRM Selangor sedang menjalankan operasi besar-besaran terhadap kes pemerasan ugut berkaitan jenayah salah guna dadah yang dilakukan oleh polis.

“Beberapa tangkapan sudah dilakukan, namun timbul dakwaan serangan dalam tahanan ini. Saya sendiri tidak tahu apa kaitan sebenar perkara ini de­­ngan operasi yang dilakukan SPRM.

“Tetapi saya boleh jamin bahawa kita akan bekerjasama dengan setiap siasatan yang dilakukan, malah saya sendiri tidak mahu mengulas lanjut kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam pertemuan eksklusif di pejabatnya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, beliau masih menunggu hasil siasatan yang dilakukan namun menjelaskan, setiap siasatan yang dilakukan SPRM adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang sudah ditetapkan.

“Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar, kita menjalankan siasatan mengikut garis panduan dan tiada toleransi apa jenis serangan dalam tahanan.

“Malah mengikut SOP, mereka tidak dibenarkan memukul tahanan,” katanya.

Dalam perkembangan itu, BH melihat satu laporan polis yang mendakwa seorang anggota berusia 35 tahun dipukul pada dua tarikh yang berbeza iaitu 24 Disember dan 26 Disember ketika dia hadir ke pejabat SPRM di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor untuk membantu siasatan.

Dia mendakwa kekerasan itu digunakan supaya dia membuat pengakuan terhadap satu kes yang sedang disiasat SPRM. Malah, polis itu juga mendakwa dia turut diugut untuk disambung reman dan ditangkap ahli keluarga.

Namun begitu, satu lagi laporan polis yang dipercayai dibuat oleh seorang pegawai SPRM yang menyiasat kes itu, pula menafikan kejadian kekerasan dan ugutan itu. Pegawai itu mendakwa semua siasatan dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan.

Berita Harian X