Khamis, 26 Disember 2019 | 2:27pm
Penolong Jurutera Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Shahnur Fathiah Abd Karim mengambil sampel air sungai yang dicemari sisa bahan buangan terjadual untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisa semasa pemeriksaan sungai berkenaan di Mantin, semalam. - Foto BERNAMA
Penolong Jurutera Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Shahnur Fathiah Abd Karim mengambil sampel air sungai yang dicemari sisa bahan buangan terjadual untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisa semasa pemeriksaan sungai berkenaan di Mantin, semalam. - Foto BERNAMA

Pencemaran Sungai Belihoi, Mantin terkawal

SEREMBAN: Pencemaran di Sungai Belihoi di Mantin, di sini, akibat pembuangan bahan dipercayai mengandungi sisa kimia, adalah terkawal dan kerja pembersihan dijangka selesai petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pencemaran itu disifatkan sebagai tidak serius kerana ia hanya menjejaskan sebahagian kawasan anak sungai terbabit.

Katanya, tindakan pantas agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan kerja pembersihan di kawasan itu berjaya mengekang bahan cemar mengalir ke Sungai Linggi.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan sudah menghantar sampel air sungai dan sisa buangan itu ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisa dan keputusannya dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

“Buat masa ini kita masih belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran ini, namun saya sudah arahkan JAS untuk lakukan pemeriksaan ke atas semua kilang memproses minyak terpakai di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di lokasi pencemaran, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JAS akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 34B(1)(a), Akta Kuala Alam Sekeliling 1974.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Belihoi, Minah Ujang, 53, berkata insiden itu turut menyebabkan beberapa penduduk mengalami sesak nafas dan pedih mata.

“Pagi semalam, ada beberapa penduduk memaklumkan ternampak pembuangan sisa bahan kimia di tebing sungai itu. Ia menyebabkan bau busuk di kawasan berhampiran malah ada penduduk yang mengalami sesak nafas.

“Bagaimanapun, gejala sesak nafas itu hanya berlaku dalam tempoh singkat dan berakhir sebaik pihak berkuasa melakukan kerja pembersihan.

“Walaupun pencemaran itu tidak masuk ke kawasan sungai terletak di kampung ini, penduduk kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa berkenaan di kawasan itu,” katanya.

BH semalam melaporkan, kesan tompokan minyak dipercayai bahan kimia dan bangkai ikan dikesan di anak sungai berhampiran Jalan Batu 14, Mantin di sini pada jam 5.35 pagi.

Berita Harian X